Pages

Thursday 28 November 2013

Konsep Bai' Inah

Sistem kewangan dan ekonomi kebanyakannya dimonopoli oleh institusi kewangan konvensional. Seperti sedia maklum, konsep konvensional semestinya tidak akan lari daripada unsur riba. Namun, hari ini institusi kewangan Islam telah mengorak langkah lebih jauh memperkenalkan banyak produk-produk kewangan yang berlandaskan Islam yamg mampu bersaing dengan institusi kewangan konvensional.

Antara konsep penting yang diaplikasikan dalam produk-produk institusi kewangan Islam ialah Bai' Inah. Konsep Bai' Inah banyak digunakan dalam sektor perbankan yang berteraskan Islam. Kebiasaannya konsep ini diamalkan dalam produk pembiayaan (financing)


Apa itu Bai' Inah

Bai' Inah boleh diertikan sebagai satu kontrak/akad yang membabitkan urusniaga jualan dan pembelian semula aset oleh penjual. Dalam urus niaga ini, penjual menjual aset kepada pembeli secara tunai dan kemudian membelinya semula secara pembayaran tertangguh dengan harga yang lebih tinggi daripada harga jualan secara tunai. Ia juga boleh berlaku apabila penjual menjual aset secara pembayaran tertangguh dan membelinya semula secara tunai dengan harga yang lebih rendah.

Sebagai contoh di mana seseorang yang memerlukan wang tunai datang kepada seseorang yang lain untuk memohon pinjaman. Pihak pemiutang enggan memberikan pinjaman kecuali beliau akan mendapat keuntungan daripada pinjaman itu dan dalam masa yang sama beliau menyedari keuntungan itu akan menyebabkan kepada berlakunya riba yang jelas diharamkan oleh Islam.

Oleh yang demikian pemiutang mengambi inisiatif menjual sesuatu barang kepada penghutang dengan harga tangguh kemudian pemiutang membeli semula barang tersebut secara tunai dengan harga yang lebih rendah. Konsep inilah dinamakan sebagai bai’ inah.


Penjelasan

Kebiasaannya kaedah ini digunakan dalam produk pembiayaan peribadi. Secara konsepnya, ia mempunyai dua kontrak/akad. Pertama, kontrak jual beli antara bank dengan pelanggan. Bank akan menjualkan sesuatu aset kepada pelanggan dengan harga tangguh (ansuran). Kedua, kontrak pembelian semula aset yang dijualkan kepada pelanggan. Iaitu bank membeli semula aset tersebut dengan dengan harga tunai. 

Dalam konteks ini, seolah-olah bank bertindak sebagai pemiutang dan akan mendapat faedah berdasarkan harga kredit dan harga tunai daripada transaksi itu. Namun ianya dihelahkan dengan berpindah daripada kontrak pinjaman kepada kontrak jual beli barangan yang dihalalkan oleh Islam dan dapat mengelak daripada unsur riba.


Dalil-Dalil Pengharusan Bai’ Inah

Walaupun kebanyakan ulama’ Timur Tengah berkeras mengharamkan Bai’ Inah, namun Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia mempunyai pendirian serta pendapat yang tersendiri dalam mengharuskan kontrak ini. Antara dalil-dalilnya ialah:

1)      Firman Allah Taala :

Maksudnya: “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang kemasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”  (Al-Baqarah: 275)

Dua perjanjian jual beli yang berlaku secara berasingan dan bebas, tidak berkaitan antara satu sama lain serta menggunakan lafaz jual beli yang berlandaskan syarak merupakan elemen-elemen penting dalam akad bai’ inah yang selari dengan tuntutan di atas. Oleh itu, dua perjanjian jual beli bai’ inah antara penjual dan pembeli berdasarkan elemen-elemen tersebut adalah sah di sisi syarak.

2)      Sebahagian fuqaha’ mazhab Syafie serta sebahagian daripada mazhab Hanafi seperti Imam Abu Yusuf berpandangan bahawa bai’ inah adalah harus.

3)      Imam Syafie telah menghuraikan tentang keharusan bai’ inah dalam kitabnya al-Umm seperti yang berikut :

“Apabila seseorang telah menjual sesuatu barang dalam sesuatu tempoh dan pembeli telah menerimanya, maka tidaklah menjadi kesalahan jika dia membelinya semula  daripada orang yang telah membeli barang tersebut daripadanya dengan harga yang kurang”

Transaksi ini dibenarkan dalam Islam sepertimana keputusan Mesyuarat Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS) ke-8 memutuskan bahawa urusniaga yang berasaskan bai’ Inah dalam pasaran wang antara bank secara Islam adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
  • Urus niaga bai’ Inah mestilah mengikut kaedah yang diterima oleh mazhab Syafie; dan
  •  Barangan yang diurusniagakan mestilah bukan barangan ribawi.


Syarat-Syarat Bai’ Inah

Bagi menyelaraskan penggunaan Bai’ Inah dalam industry kewangna Islam, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarat-syarat sah Bai’ Inah :

  1. Mempunyai dua akad jual beli yang jelas dan berasingan iaitu akad pembelian dan akad penjualan.
  2. Tiada syarat pembelian semula aset dalam akad.
  3. Waktu berlaku setiap akad adalah berbeza.
  4. Turutan akad yang betul. Iaitu akad jual beli pertama hendaklah disempurnakan terlebih dahulu sebelum akan jual beli kedua dijalankan.
  5. Berlaku pemindahan hak milik aset serta wujud penguasaan ke atas aset (qabd) yang sah berdasarkan syara’ dan amalan perniagaan semasa (urf tijari)



Antara contoh bank-bank yang menggunakan bai’ inah sebagai konsep untuk produk mereka ialah, AmIslamic Bank dengan produk kad kredit dan debit At-Taslif Card I-Features. Selain itu, Bank Rakyat menyediakan pembiayaan peribadi, Qiradh Investment Account-I (SPBR), Bank Simpanan Nasional, Pembiayaan peribadi-I BSN I-BPA. Bank OCBC al-Amin juga menggunakan konsep bai’ inah dalam pembiayaan peribadi mereka iaitu Cash Finacing-I.


Sumber:
-Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam BNM edisi kedua
-Kertas Kerja International Conference on Corporate Law2009/ Dr Azizi Abu Bakar, UUM


musoza|Bangi
28Nov2013

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...