Pages

Friday 7 January 2011

Hiasan Duniawi


Wanita digelar penyeri dunia dan hadirnya melengkap hubungan manusia. Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka hati, fikiran dan jiwa lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namum Nabi Adam a.s tetap rindukan teman pendamping diri iaitu Siti Hawa. Wanitalah yang dipanggil ibu, isteri ataupun puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, sukar meluruskan mereka. Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara yang diajarkan oleh Islam. Luruskanlah mereka mengikut panduan dariNya.


Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, bimbang mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, khuatir nanti mereka akan binasa. Akal setipis rambut, tebalkan dengan limpahan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkanlah dengan iman. Jiwa selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah SWT, zat yang kekal kerana Dialah pencipta wanita. Hanyalah Dia yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui.


Tercipta dari rusuk lelaki, bukan dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk dijunjung tetapi dekat dibahu untuk dilindung dan dekat juga dengan hati untuk dikasihi.


Suburkanlah hati mereka dengan keimanan kerana disitulah titik tolak untuk mereka lihat nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara. Kelembutan bukan suatu kelemahan. Bukan jua diskriminasi Tuhan. Sebaliknya itulah hiasan mereka, dan bukti kasih sayang Tuhan terhadap mereka. Sesunggunya Allah SWT Maha Adil dan Maha Penyanyang. Tidak akan lahir seorang lelaki hebat tanpa wanita. Tidak akan lahir seorang presiden negara tanpa wanita. Tidak akan lahir seorang jutawan tanpa wanita. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya,pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa iman, ilmu dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula yang membengkokkan.


Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh wanita daripada wanita yang dirosakkan oleh lelaki. Waimma sebodoh-bodoh wanita mampu menundukkan sepandai-pandai lelaki.


Itulah natijahnya apabila wanita tidak kenal pencipta mereka. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Apabila patahnya tulang rusuk, rosaklah jantung, hati dan limpa.


Buat lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu menuju redha Ilahi. Abadikanlah diri kepada Yang Esa, nescaya akan mudahlah segala urusan dibawah pimpinan kita.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...