Pages

Sunday 27 March 2011

SUBHANALLAH..AMAZING - REAL ENGINEERING..!!

Alam ini dihuni pelbagai makhluk. Haiwan, serangga, unggas, semuanya mempunyai kelebihan yang Allah SWT ciptakan. Ianya adalah anugerah daripada Allah SWT untuk setiap makhluk di muka bumi ini.

Untuk entry kali ini berkaitan dengan sejenis serangga yang membina sarang. Cara-cara sarang yang dibina jelas menunjukkan serangga ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Memang 'jurutera' yang hebat.


Membuat garisan lurus..



Membiarkan bahagian akhir untuk menggantung rumah..



Mengukur jarak tapak..



Melipat daun yang telah diukur..



Mencantumkan dua bahagian yang dilipat



Melipat di bahagian kanan dan mencantumkan serta memperkemas di bahagian kanan..



Menggulung dan melipat dengan kemas. Amat menakjubkan..



Rumah digantung dan diikat dengan ketat untuk berlindung daripada ancaman musuh..



Membuat pintu..



Memeriksa kestabilan rumah serta proses mengukuhkan kedudukan rumah..



Rumah sudah siap dibina. Mengagumkan..



Subhanallah..!!!!! sungguh menakjubkan kretiviti makhluk ciptaan Tuhan Yang Esa.

Wednesday 23 March 2011

Ujian Daripada Yang Esa

Sebagai seorang mukmin, ujian hidup adalah suatu kepastian. Pelbagai ujian dan kesusahan dihadapi untuk menilai sejauh mana tahap kebergantungan serta keyakinanya kepada Allah SWT. Adakalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan, kemewahan, kejayaan dalam hidup dan sebagainya. Kesenangan seperti ini jika dilihat dengan mata kasar tidaklah seberat ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun tidak kurang cabarannya.

Seseorang yang diuji dengan kesenangan, memiliki harta yang melimpah ruah serta kemewahan hidup tentu sahaja sentiasa memikirkan kemanakah hendak disalurkan kemewahan yang diperolehi. Adakah untuk kegunaan sendiri serta keluarga semata-mata, menyalurkannya ke jalan haram atau menginfakkannya ke jalan Allah..? Hanya iman sahaja mampu menunjukkan jalannya.


SUSAH DAN PAYAH

Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian daripada ujian yang Allah bebankan ke atas hambaNya. Walaupun ketara perbezaanya jika dibandingkan dengan ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah satu ujian. Ujian yang akan menguji tahap keimanan serta keyakinan seorang hamba kepada penciptaNya.

Perjalanan hidup bagi seorang manusia yang bergelar hamba tidak lari daripada cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Waima untuk mendapatkan sesuap nasi untuk mengalas perut sekalipun memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Hakikatnya itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan. Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin.


أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yg dusta." (surah al-Ankabut: 2-3)


Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan ketika lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian daripada ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walaupun seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa. Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. Itulah yang dinamakan sunatullah.


Allah SWT. Dialah Maha Pencipta.Sudah menjadi hakNya untuk memberi hamba-hambanya ujian serta dugaan. Dia melaksanakan apa yang dikehendaki. Kita sebagai hambaNya perlu mengikut landasan yang telah ditetapkan olehNya. Melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. InsyaAllah ada balasannya. Itulah janji Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Semoga Allah SWT menetapkan hati kita dijalanNya serta meneguhkan keimanan kita kepadaNya. Ameen.~




Sunday 20 March 2011

Dah Daftar Sebagai Pemilih??


Assalamualaikum..

Sejak kebelakangan ini ura-ura yang mengatakan bahawa Pilihanraya Umum Malaysia (PRU) ke-13 semakin hampir sering kedengaran. Dalam akhbar siang tadi ada diwar-warkan Dewan Undangan Negeri Sarawak bakal dibubarkan dan Pilihanraya Negeri Sarawak akan diadakan tidak lama lagi. Hal ini bakal disusuli dengan PRU ke-13. Tak lama dah....

Kepada kawan-kawan (sudah mencapai had umur sebagai pemilih) yang belum mendaftar sebagai pemilih bolehlah berbuat demikian dengan segera. Kepada yang sudah mendaftar, bolehlah semak nama anda di web rasmi SPRM. Pilihanraya boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Tunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia. Laksanakan tanggungjawab anda sebagai seorang Muslim.

camni la nnti klau da daftar...




Saturday 19 March 2011

Tsunami Jepun: Sudah Jatuh Ditimpa Tangga.



"Sudah jatuh ditimpa tangga"

Inilah yang terjadi kepada rakyat Jepun. 11 Mac yang lalu, Jepun dikejutkan dengan gempa bumi bermagnitut 8.9 skala ritcher disusuli dengan gelombang tsunami yang melanda bahagian utara dan timur laut Jepun. Bencana yang mengorbankan banyak nyawa serta harta benda. Semakin hari jumlah kematian semakin meningkat.

Jumlah rasmi mangsa korban dan yang belum dijumpai akibat gempa bumi dan tsunami Jepun 16,600 orang dengan 6405 orang dinyatakan terkorban setakat ini. Polis Nasional Jepun menyatakan hingga saat ini jumlah korban yang belum ditemukan sejak gempa dan tsunami hujung minggu lalu menjadi 10259 orang dan 2409 orang tercedera. (sumber)

Tidak cukup dengan gempa bumi dan tsunami, Jepun berhadapan dengan letupan reaktor nuklear dan radias
i. Radiasi nuklear bukan sahaja memberi kesan ke atas Jepun malah mampu menular sehingga 1/3 dunia. Apa radiasinya???? :

  • Pendedahan radiasi berukuran 100 Rems akan merosakkan sistem peredaran darah menyebabkan sel limfosit darah akan berkurangan. Simptom awal selesema.
  • Pendedahan kepada radiasi berukuran 200 Rems ke atas menyebabkan keguguran rambut dengan cepat, kerosakan saluran usus yang mengakibatkan mual, muntah dan cirit-birit. Pada kekuatan ini, radiasi boleh menyebabkan kerosakan saluran peranakan.
  • Radiasi nuklear berukuran 1,000 hingga 5,000 Rems mengakibatkan kerosakan kepada pembuluh darah dan boleh menyebabkan jantung gagal berfungsi dan kematian.
  • Pendedahan langsung kepada radiasi berukuran lebih 5,000 Rems akan menyebabkan sel otak rosak, selain membunuh sel saraf dan merosakkan pembuluh darah dalam jantung.
  • Dalam jumlah tertentu, iodin radioaktif boleh merosakkan sebahagian atau seluruh bahagian kelenjar tiroid yang mengawal metabolisma (pengeluaran tenaga) manusia.
  • Menurut data kesan pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima menunjukkan mangsa cuma bertahan selama 10 tahun dan berdepan risiko jangka panjang seperti leukemia dan barah limfoma. -sumber : Berita Harian.

Malang rakyat Jepun tidak terhenti setakat itu sahaja. Dengan bekalan makanan, pakaian yang terhad serta ketiadaan tempat untuk berlindung, rakyat Jepun terpaksa menahan kesejukan salji yang turun. Allahuakbar. Agungnya kekuasaan Allah SWT. Tiada yang mustahil bagi Allah SWT.

salji mengiringi tangisan rakyat Jepun

kesedihan terpancar diwajah


"Ya Allah, hindarilah kami daripada malapetaka dan bala bencana..."



Sunday 6 March 2011

MEMELUK ISLAM SETELAH MENGKAJI KISAH FIRAUN


Pada pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang diceritakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam di dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.


Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar dalam bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudidan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menyelongkar misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.


KISAH FIRAUN DALAM AL-QURAN

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami." (Yunus: 92).

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi bahawa al-Quran adalah benar-benar kalam Allah SWT.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...