Pages

Wednesday 23 March 2011

Ujian Daripada Yang Esa

Sebagai seorang mukmin, ujian hidup adalah suatu kepastian. Pelbagai ujian dan kesusahan dihadapi untuk menilai sejauh mana tahap kebergantungan serta keyakinanya kepada Allah SWT. Adakalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan, kemewahan, kejayaan dalam hidup dan sebagainya. Kesenangan seperti ini jika dilihat dengan mata kasar tidaklah seberat ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun tidak kurang cabarannya.

Seseorang yang diuji dengan kesenangan, memiliki harta yang melimpah ruah serta kemewahan hidup tentu sahaja sentiasa memikirkan kemanakah hendak disalurkan kemewahan yang diperolehi. Adakah untuk kegunaan sendiri serta keluarga semata-mata, menyalurkannya ke jalan haram atau menginfakkannya ke jalan Allah..? Hanya iman sahaja mampu menunjukkan jalannya.


SUSAH DAN PAYAH

Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian daripada ujian yang Allah bebankan ke atas hambaNya. Walaupun ketara perbezaanya jika dibandingkan dengan ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah satu ujian. Ujian yang akan menguji tahap keimanan serta keyakinan seorang hamba kepada penciptaNya.

Perjalanan hidup bagi seorang manusia yang bergelar hamba tidak lari daripada cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Waima untuk mendapatkan sesuap nasi untuk mengalas perut sekalipun memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Hakikatnya itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan. Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin.


أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yg dusta." (surah al-Ankabut: 2-3)


Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan ketika lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian daripada ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walaupun seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa. Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. Itulah yang dinamakan sunatullah.


Allah SWT. Dialah Maha Pencipta.Sudah menjadi hakNya untuk memberi hamba-hambanya ujian serta dugaan. Dia melaksanakan apa yang dikehendaki. Kita sebagai hambaNya perlu mengikut landasan yang telah ditetapkan olehNya. Melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. InsyaAllah ada balasannya. Itulah janji Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Semoga Allah SWT menetapkan hati kita dijalanNya serta meneguhkan keimanan kita kepadaNya. Ameen.~




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...