Pages

Saturday 22 June 2013

Berbelanja di Tanah Abang Jakarta

macet
“Belanja boleh Bu, belanja abang, belanja sayang"

Ramah peniaga-peniaga Pasar Tanah Abang penuh sopan ketika melintasi hadapan kedai mereka. Kata-kata para peniaga di sana penuh lemah lembut disertai dengan senyuman manis. Itulah pelaris untuk melariskan perniagaan mereka.

Pasar Tanah Abang atau lebih dikenali dengan Grosir Tanah Abang bagi penduduk di sana merupakan pusar borong terbesar di Asia Tenggara. Ia terletak di Jakarta Pusat. Lebih kurang 40km daripada Soekarno Hatta Airport,Jakarta. Antara kawasan paling sesak di Jakarta. “Macet mas, macet bangat!” inilah kata-kata yang diucapkan pemandu teksi kepada pelanggannya yang ingin ke Tanah Abang. Sesak! Macam-macam jenis orang ada di situ.

Blok A
Empat hari lepas berkesempatan pergi ke Jakarta. Berada di sana 2 hari berpeluang melihat sendiri pusat membeli belah yang paling besar pernah dikunjungi. 14 tingkat termasuk tingkat bawah tanah dan mempunyai beberapa blok. Dan blok yang sempat singgah hanyalah di blok A dan B. Itu pun beberapa tingkat saja. Memang besar. Pelbagai jenis barangan yang dijual di situ. Pakaian, kasut, beg, langsir, kain, barangan perkahwinan dan macam-macam lagi dijual dengan harga yang murah.

SAYANG

“Tak boleh sayang” ucap seorang peniaga perempuan iras pelakon Indonesia Meyda Sefira bila minta dikurangkan lagi harga barang. Terus tak jadi nak tawar menawar selepas terkena penangan ‘sayang’.
Rupa-rupanya di sana ianya sudah menjadi kebiasaan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan. Agak-agak boleh ke dipraktikkan di Malaysia? Atau nanti dilabel buang tabiat?

Di sana, pelanggan tidak perlu risau untuk membawa barang-barang  yang telah diborong di Pasar Tanah Abang tinggi menggunung. Di sana banyak perkhidmatan ‘porter’ atau tukang angkat barang. Bayar sahaja dan beritahu mana tempat yang hendak di hantar. Mengalahkan arab Mesir. Gagoh boh!

Jakarta antara bandar yang paling banyak pusat beli belah. Tidak hairanlah ia terkenal dengan kesesakan dan kesibukan jalan raya.Pengangkutan awam pun banyak. Angkutan, bajai, ojek, bas, bimo, teksi dan lain-lain lagi. Orang yang datang memborong di Jakarta bukan sahaja orang Indonesia dan Malaysia, Filipina, Vietnam, china, Singapore, Thailand malah orang daripada benua Afrika pun datang.


Belum subuh lagi peniaga-peniaga sudah keluar menolak gerai beroda untuk ditempatkan di kawasan-kawasan strategik. Hadapan pusat membeli belah, stesen bas dan tepian jalan yang sibuk menjadi tempat pilihan mereka.

MAKAN


Syok berbelanja, makan jangan dilupa. Berada di negari orang, amat rugi jika tidak merasa makanan mereka. Di tingkat 8 bangunan Grosir Tanah Abang, tersedia ‘footcourt’. Pengunjung boleh memilih pelbagai hidangan untuk disantap. Masakan minang, padang semua ada. Yang menarik minat saya ialah Es Doger. Seakan ABC tapi dicampur dengan kelapa serta tapai. Sedap. Dah cuba baru tahu.

Selamat Pagi jakarta

Sunday 16 June 2013

Bursa : Ski Dan Kebab


Sakit! Tapi seronok dan puas!

Itulah yang boleh diceritakan perasaan ketika papan ski meluncur deras menuruni kawasan yang lebih cerun. Sakit! Mana tidaknya acap kali terjatuh dan kaki hampir terseliuh. Walaupun jatuh atas salji tapi salji padat! Sesiapa sahaja yang melalui pengalaman pertama ber’ski’ pasti tidak boleh lari daripada sakit-sakit badan akibat terjatuh. Cukup teruja dengan pengalaman pertama bermain ski di Pergunungan Uludag, Bursa, Turki.

Kami tiba di Bursa pada waktu malam. Di pelabuhan Yenikapi,Istanbul kami menaiki feri untuk sampai ke Bursa. Feri merupakan pengangkutan altenatif bagi sesiapa yang ingin menjimatkan masa untuk ke Bursa daripada Istanbul. Hanya memakan masa 2 jam berbanding menaiki bas, 5 jam perjalanan.

Dengan bantuan pemandu teksi, kami dapat bermalam di salah sebuah hotel di Bandar Bursa dengan harga yang berpatutan. Hotel Camlibel, terletak berhampiran dengan Masjid Besar Bursa. Kami rehatkan badan mengumpul energi untuk melaksanakan tujuan utama kami datang ke sini.

TERUJA

Keesokan hari, usai sarapan kami bergerak ke stesen bas perhampiran untuk ke stesen kereta kabel. Tujuan asal hendak ke puncak dengan kereta kabel, namun perkhidmatan kereta kabel untuk ke puncak Uludag pada hari itu sedang dinaik taraf. Perancangan awal terpaksa ditukar. Kami menaiki kereta kabel hanya untuk melihat keindahan gunung yang dliliputi salji. Pemandangan yang sungguh indah! Putih bersih.


White and Blue

Selesai membekukan tangan dengan kepalan bola salji di stesen perhentian kereta kabel kami berpatah ke stesen utamal. Di sana kami menaiki teksi untuk ke puncak. Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal, kami teruskan niat semata untuk bermain ski. Ada pengangkutan yang lebih murah untuk ke puncak iaitu kenderaan yang dipanggil ‘Dolmus’ (seakan van jenazah).

Menyusuri jalan lereng bukit bersalji, lebih kurang 30 minit kemudian kami sampai ke Uludag, pusat meluncur salji di Turki. Kawasan pergunungan yang sangat indah. Tempat yang cantik, luas, salji memutih dan dipenuhi pokok pine. Suhu ketika itu tidak dapat dipastikan, masing-masing teruja untuk meluncur! Maklumlah ‘first time’. Suhu sewaktu berada di kaki gunung bawah daripada 5’C, semestinya di puncak lebih rendah suhunya. Pergi waktu ‘peak winter’ ,perlu kuat untuk menahan cuaca yang amat sejuk.

PENGALAMAN PERTAMA

Sampai di Uludag, kami mencari kedai yang menawarkan harga yang paling murah untuk menyewa peralatan ski. Dan, Alhamdulillah kami menjumpainya.

Selesai proses menyewa, kami bersiap. Kasut dipasang ketat, glove disarung kemas, snow cap dipakai sehingga menutupi telinga.

Pengalaman pertama bermain ski, jatuh, terguling, tergolek adalah perkara biasa. Bagaikan bayi yang baru belajar bertatih, jatuh bangun tanpa kenal putus asa. Sepatutnya motovasi sebegini perlu ada dalam setiap tindak tanduk kita bukan hanya untuk perkara yang kita minati sahaja. Tetapi haruslah tidak lari daripada landasan yang telah digariskan dalam agama. Barulah dapat mengukuhkan semangat untuk menempuhi onak dan liku dalam kehidupan.

Meluncur di kawasan yang cerun memang mencabar. Lebih-lebih lagi budak baru belajar seperti kami. Kami di atas orang ramai di bawah sana. Silap haribulan semua kena rempuh. Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sejam setengah berhempas pulas, jatuh bangun, bergelak ketawa, macam-macam aksi yang sempat dirakam sebagai kenangan. Terima kasih diucapkan kepada pemandu teksi kerana sudi menjadi jurugambar kami. Tika hari menjelang senja, kami segera turun ke tempat penginapan dibimbangi kabus tebal yang boleh menghalang perjalanan.

KEBAB BURSA

Badan penat. Letih. Semestinya perut pun lapar. Sebelum makan kami bersihkan badan dan redakan sedikit kepenatan di Turkish Hamami Sauna. Berendam dalam jakuzi ketika tubuh dicengkam suhu serendah 1’C terasa amat mendamaikan. Hilang seketika kepenatan bermain ski. Sakit-sakit badan berkurangan. Hampir 2 jam berada di dalam, cukup men

Selesai sesi menyegarkan badan, kami menuju ke kedai makan. Bursa Iskander Kebab menjadi pilihan. Kedainya sedikit ‘old skool’. Jika tidak silap, ia ditubuhkan sejak tahun 1909. Di daerah ini, selain aktiviti sukan luncur dan khazanah kesenian Islam yang menjadi tarikan pelancong, Kebab Bursa juga menjadi pilihan pengunjung.


Et Doner Iskander Kebab

Kebab di sini berlainan sedikit berbanding kebab di kawasan lain. Hirisan daging yang nipis, dibakar rata, di letakkan di atas kepingan roti dan dituangkan sos masam manis dan disajikan dengan mayonis. Ditambah pula aroma daging bakar yang wangi. Fuh! Masih teringat-ingat hingga sekarang. Walaupun harga sedikit mahal, namun berbaloi. Alhamdulillah atas rezeki dari Nya.

Inilah antara kenangan percutian ‘winter 2012’. Teringat kata-kata seorang sahabat “ tempat berjalan bukan perkara utama, dengan siapa kita berjalan yang paling penting”. Moga tetap kukuh terpahat dalam ingatan. Bak kata pepatah melayu ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan, indah kenangan, kukuh dalam ingatan’.

Detik manis, saat suka dan duka jika tidak di’rekod’kan, hari berganti hari pasti akan hilang sedikit demi sedikit. Jika ada ‘rekod’ pasti boleh dibelek dan diingati kembali.



Ski

Saturday 1 June 2013

Istanbul, Menggamit Memori

Winter 2012, Aku dan kawan-kawan berpeluang menjejakkan kaki ke Istanbul, Turkey. Sebuah Bandar perlancongan yang tidak asing lagi bagi kaki ‘travelling’. Kedudukannya di antara Selat Bhosphorus dan Laut Marmara menjadikan Istanbul satu kawasan yang mempunyai pemandangan dan panorama yang sangat indah.  Pasti memukau sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke sana.

Tidak kurang hebatnya khazanah-khazanah Islam yang tersimpan di bumi Istanbul ini. Khazanah warisan di era pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah yang gemilang suatu masa dahulu.

Semua sudah sedia maklum tentang sejarah penaklukan kota Konstantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Suatu kisah yang pernah diceritakan oleh Nabi SAW lebih 1000 tahun sebelumnya.

“Akan dibuka Kota Konstantinople, sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Keberadaan di Istanbul selama 3 hari merakamkan memori yang tidak akan dilupakan. Ianya adalah pengalaman yang tidak mampu dibeli. Hanya menjadi kenangan orang yang melaluinya sahaja.


UNIKNYA ISTANBUL

Perasaan gembira dan teruja memang tidak dinafikan. Seawal jam 7 pagi, kami besiap-siap untuk memulakan ekspedisi ‘menakluki’ Istanbul. Walaupun badan masih merasa penat berada lebih 15 jam di dalam bas, keindahan serta keunikan bumi Istanbul bagaikan terapi membuatkan kami lebih bertenaga dan melupakan segala keletihan.

Tempat pertama yang kami lawati ialah Masjid Sultan Mehmet  atau lebih di kenali dengan nama Blue Mosque. Antara salah satu mercu tanda kota ini. Masjid yang dibina era pemerintahan Uthmaniyyah mempunyai senibina yang cukup unik. Bermula dari hujung tangga, bahagian dalam masjid hinggalah ke puncak menara, senibinanya sangat indah. Sudah pasti pembuatnya mempunyai daya inspirasi yang tinggi.

Bukan hanya Blue Mosque sahaja, boleh dikatakan semua masjid di Istanbul mempunyai keunikan senibina yang tersendiri, lambang senibina kerajaan Turki Uthmaniyyah. Antara Masjid yang sempat di lawati New Mosque, Suleimaniye Mosque,Fateh Mosque, Eyub Mosque dan banyak lagi. Memang  banyak masjid di Istanbul  dan jarak antara masjid sangat dekat!

Seterusnya kami ke Aya Sophia, terletak berhadapan dengan Masjid Biru. Bangunan in merupakan sebuah gereja sebelum Islam menakluk Konstantinople. Setelah kota ini ditakluki ia beroperasi sebagai masjid.


Di belakang Aya Sophia terletaknya Topkapi Palace, istana kerajaan Uthmaniyyah. Tetapi kami tidak berpeluang untuk masuk kerana istana ditutup pada hari itu, hari selasa seingat saya. Bagi sesiapa yang ingin melawat Turki, harus dikaji terlebih dahulu waktu operasi tempat yang hendak dilawati. Ada tempat tutup hari Isnin, Selasa, Rabu tetapi beroperasi di hujung minggu.

Di Hadapan Blue Mosque

Selain daripada tempat seperti istana, muzium dan masjid, Istanbul menjanjikan pemandangan yang indah. Taman-taman yang di jaga bersih, melihat panorama kota, kawasan  pesisiran selat bhosphorus yang memukau.

Kami sempat mengunjungi Galata Bridge. Jambatan merentasi selat Golden Horn yang menghubungkan Bandar lama Istanbul dan Bandar baru Istanbul. Bagi penggemar makanan laut, di bawah jambatan ini menyediakan pelbagai jenis makanan laut. Tetapi harga agak mahal sesuai dengan tempatnya yang eksklusif.

Satu lagi tempat yang harus dikunjungi jika datang ke Istanbul ialah Galata Tower. Ia merupakan menara tertinggi di sini. Di atas menara ini kita dapat melihat pemandangan keseluruhan kota Istanbul. Pemandangan yang amat mempesonakan.

Di hadapan Aya Sophia

MEMBELI BELAH

Tidak lengkap sebuah percutian jika tiada ole-ole untuk dibawa pulang. Spice Bazar, berhampiran Galata Bridge tidak akan mengecewakan anda. Di sini terdapat banyak pilihan cenderamata seperti t-shirt, key chain, fridge magnet dan sebagainya untuk di bawa pulang sebagai kenangan. Di samping harga yang lebih murah daripada tempat lain. Peniaga pun ramah-ramah belaka.

Kami membeli beberapa jenis cenderamata. Selain cenderamata, manisan Turki juga menjadi buah tangan bagi sesiapa yang mengunjungi Istanbul. Pelbagai jenis manisan di jual di sini. Sedap! Dan harga pun berpatutan. Tidak jauh daripada Spice Bazar, terletaknya Grand Bazar. Juga merupakan tumpuan pelancong untuk membeli belah. Seperti di Spice Bazar, banyak pilihan dan harga berpatutan.

Turkish Delight

Penat berjalan dan membeli belah, sudah tentu perut minta diisi. Pilih sahaja ingin masuk ke kedai mana. Makanan yang terkenal di Turki, ialah kebab. Kebab ayam, kebab daging, kebab ikan pun ada.
Sewaktu di sana kebab menjadi pilihan kami berbanding nasi, kerana harganya lebih murah dan sedap. Kedai fast food pun banyak.

Sekarang berada di Malaysia. Keinginan untuk ke sana lagi makin menebal dek kerana kenangan di sana kian bermain di minda. Lebih-lebih di musim cuti sekolah sebegini memang terasa ingin bercuti.  Cuma aspek kewangan masih di tahap paling rendah. Moga suatu hari nanti dapat ku jejakkan kaki lagi di bumi Istanbul.

Selat Bhosphorus



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...