Pages

Saturday, 22 June 2013

Berbelanja di Tanah Abang Jakarta

macet
“Belanja boleh Bu, belanja abang, belanja sayang"

Ramah peniaga-peniaga Pasar Tanah Abang penuh sopan ketika melintasi hadapan kedai mereka. Kata-kata para peniaga di sana penuh lemah lembut disertai dengan senyuman manis. Itulah pelaris untuk melariskan perniagaan mereka.

Pasar Tanah Abang atau lebih dikenali dengan Grosir Tanah Abang bagi penduduk di sana merupakan pusar borong terbesar di Asia Tenggara. Ia terletak di Jakarta Pusat. Lebih kurang 40km daripada Soekarno Hatta Airport,Jakarta. Antara kawasan paling sesak di Jakarta. “Macet mas, macet bangat!” inilah kata-kata yang diucapkan pemandu teksi kepada pelanggannya yang ingin ke Tanah Abang. Sesak! Macam-macam jenis orang ada di situ.

Blok A
Empat hari lepas berkesempatan pergi ke Jakarta. Berada di sana 2 hari berpeluang melihat sendiri pusat membeli belah yang paling besar pernah dikunjungi. 14 tingkat termasuk tingkat bawah tanah dan mempunyai beberapa blok. Dan blok yang sempat singgah hanyalah di blok A dan B. Itu pun beberapa tingkat saja. Memang besar. Pelbagai jenis barangan yang dijual di situ. Pakaian, kasut, beg, langsir, kain, barangan perkahwinan dan macam-macam lagi dijual dengan harga yang murah.

SAYANG

“Tak boleh sayang” ucap seorang peniaga perempuan iras pelakon Indonesia Meyda Sefira bila minta dikurangkan lagi harga barang. Terus tak jadi nak tawar menawar selepas terkena penangan ‘sayang’.
Rupa-rupanya di sana ianya sudah menjadi kebiasaan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan. Agak-agak boleh ke dipraktikkan di Malaysia? Atau nanti dilabel buang tabiat?

Di sana, pelanggan tidak perlu risau untuk membawa barang-barang  yang telah diborong di Pasar Tanah Abang tinggi menggunung. Di sana banyak perkhidmatan ‘porter’ atau tukang angkat barang. Bayar sahaja dan beritahu mana tempat yang hendak di hantar. Mengalahkan arab Mesir. Gagoh boh!

Jakarta antara bandar yang paling banyak pusat beli belah. Tidak hairanlah ia terkenal dengan kesesakan dan kesibukan jalan raya.Pengangkutan awam pun banyak. Angkutan, bajai, ojek, bas, bimo, teksi dan lain-lain lagi. Orang yang datang memborong di Jakarta bukan sahaja orang Indonesia dan Malaysia, Filipina, Vietnam, china, Singapore, Thailand malah orang daripada benua Afrika pun datang.


Belum subuh lagi peniaga-peniaga sudah keluar menolak gerai beroda untuk ditempatkan di kawasan-kawasan strategik. Hadapan pusat membeli belah, stesen bas dan tepian jalan yang sibuk menjadi tempat pilihan mereka.

MAKAN


Syok berbelanja, makan jangan dilupa. Berada di negari orang, amat rugi jika tidak merasa makanan mereka. Di tingkat 8 bangunan Grosir Tanah Abang, tersedia ‘footcourt’. Pengunjung boleh memilih pelbagai hidangan untuk disantap. Masakan minang, padang semua ada. Yang menarik minat saya ialah Es Doger. Seakan ABC tapi dicampur dengan kelapa serta tapai. Sedap. Dah cuba baru tahu.

Selamat Pagi jakarta

Sunday, 16 June 2013

Bursa : Ski Dan Kebab


Sakit! Tapi seronok dan puas!

Itulah yang boleh diceritakan perasaan ketika papan ski meluncur deras menuruni kawasan yang lebih cerun. Sakit! Mana tidaknya acap kali terjatuh dan kaki hampir terseliuh. Walaupun jatuh atas salji tapi salji padat! Sesiapa sahaja yang melalui pengalaman pertama ber’ski’ pasti tidak boleh lari daripada sakit-sakit badan akibat terjatuh. Cukup teruja dengan pengalaman pertama bermain ski di Pergunungan Uludag, Bursa, Turki.

Kami tiba di Bursa pada waktu malam. Di pelabuhan Yenikapi,Istanbul kami menaiki feri untuk sampai ke Bursa. Feri merupakan pengangkutan altenatif bagi sesiapa yang ingin menjimatkan masa untuk ke Bursa daripada Istanbul. Hanya memakan masa 2 jam berbanding menaiki bas, 5 jam perjalanan.

Dengan bantuan pemandu teksi, kami dapat bermalam di salah sebuah hotel di Bandar Bursa dengan harga yang berpatutan. Hotel Camlibel, terletak berhampiran dengan Masjid Besar Bursa. Kami rehatkan badan mengumpul energi untuk melaksanakan tujuan utama kami datang ke sini.

TERUJA

Keesokan hari, usai sarapan kami bergerak ke stesen bas perhampiran untuk ke stesen kereta kabel. Tujuan asal hendak ke puncak dengan kereta kabel, namun perkhidmatan kereta kabel untuk ke puncak Uludag pada hari itu sedang dinaik taraf. Perancangan awal terpaksa ditukar. Kami menaiki kereta kabel hanya untuk melihat keindahan gunung yang dliliputi salji. Pemandangan yang sungguh indah! Putih bersih.


White and Blue

Selesai membekukan tangan dengan kepalan bola salji di stesen perhentian kereta kabel kami berpatah ke stesen utamal. Di sana kami menaiki teksi untuk ke puncak. Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal, kami teruskan niat semata untuk bermain ski. Ada pengangkutan yang lebih murah untuk ke puncak iaitu kenderaan yang dipanggil ‘Dolmus’ (seakan van jenazah).

Menyusuri jalan lereng bukit bersalji, lebih kurang 30 minit kemudian kami sampai ke Uludag, pusat meluncur salji di Turki. Kawasan pergunungan yang sangat indah. Tempat yang cantik, luas, salji memutih dan dipenuhi pokok pine. Suhu ketika itu tidak dapat dipastikan, masing-masing teruja untuk meluncur! Maklumlah ‘first time’. Suhu sewaktu berada di kaki gunung bawah daripada 5’C, semestinya di puncak lebih rendah suhunya. Pergi waktu ‘peak winter’ ,perlu kuat untuk menahan cuaca yang amat sejuk.

PENGALAMAN PERTAMA

Sampai di Uludag, kami mencari kedai yang menawarkan harga yang paling murah untuk menyewa peralatan ski. Dan, Alhamdulillah kami menjumpainya.

Selesai proses menyewa, kami bersiap. Kasut dipasang ketat, glove disarung kemas, snow cap dipakai sehingga menutupi telinga.

Pengalaman pertama bermain ski, jatuh, terguling, tergolek adalah perkara biasa. Bagaikan bayi yang baru belajar bertatih, jatuh bangun tanpa kenal putus asa. Sepatutnya motovasi sebegini perlu ada dalam setiap tindak tanduk kita bukan hanya untuk perkara yang kita minati sahaja. Tetapi haruslah tidak lari daripada landasan yang telah digariskan dalam agama. Barulah dapat mengukuhkan semangat untuk menempuhi onak dan liku dalam kehidupan.

Meluncur di kawasan yang cerun memang mencabar. Lebih-lebih lagi budak baru belajar seperti kami. Kami di atas orang ramai di bawah sana. Silap haribulan semua kena rempuh. Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sejam setengah berhempas pulas, jatuh bangun, bergelak ketawa, macam-macam aksi yang sempat dirakam sebagai kenangan. Terima kasih diucapkan kepada pemandu teksi kerana sudi menjadi jurugambar kami. Tika hari menjelang senja, kami segera turun ke tempat penginapan dibimbangi kabus tebal yang boleh menghalang perjalanan.

KEBAB BURSA

Badan penat. Letih. Semestinya perut pun lapar. Sebelum makan kami bersihkan badan dan redakan sedikit kepenatan di Turkish Hamami Sauna. Berendam dalam jakuzi ketika tubuh dicengkam suhu serendah 1’C terasa amat mendamaikan. Hilang seketika kepenatan bermain ski. Sakit-sakit badan berkurangan. Hampir 2 jam berada di dalam, cukup men

Selesai sesi menyegarkan badan, kami menuju ke kedai makan. Bursa Iskander Kebab menjadi pilihan. Kedainya sedikit ‘old skool’. Jika tidak silap, ia ditubuhkan sejak tahun 1909. Di daerah ini, selain aktiviti sukan luncur dan khazanah kesenian Islam yang menjadi tarikan pelancong, Kebab Bursa juga menjadi pilihan pengunjung.


Et Doner Iskander Kebab

Kebab di sini berlainan sedikit berbanding kebab di kawasan lain. Hirisan daging yang nipis, dibakar rata, di letakkan di atas kepingan roti dan dituangkan sos masam manis dan disajikan dengan mayonis. Ditambah pula aroma daging bakar yang wangi. Fuh! Masih teringat-ingat hingga sekarang. Walaupun harga sedikit mahal, namun berbaloi. Alhamdulillah atas rezeki dari Nya.

Inilah antara kenangan percutian ‘winter 2012’. Teringat kata-kata seorang sahabat “ tempat berjalan bukan perkara utama, dengan siapa kita berjalan yang paling penting”. Moga tetap kukuh terpahat dalam ingatan. Bak kata pepatah melayu ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan, indah kenangan, kukuh dalam ingatan’.

Detik manis, saat suka dan duka jika tidak di’rekod’kan, hari berganti hari pasti akan hilang sedikit demi sedikit. Jika ada ‘rekod’ pasti boleh dibelek dan diingati kembali.



Ski

Saturday, 1 June 2013

Istanbul, Menggamit Memori

Winter 2012, Aku dan kawan-kawan berpeluang menjejakkan kaki ke Istanbul, Turkey. Sebuah Bandar perlancongan yang tidak asing lagi bagi kaki ‘travelling’. Kedudukannya di antara Selat Bhosphorus dan Laut Marmara menjadikan Istanbul satu kawasan yang mempunyai pemandangan dan panorama yang sangat indah.  Pasti memukau sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke sana.

Tidak kurang hebatnya khazanah-khazanah Islam yang tersimpan di bumi Istanbul ini. Khazanah warisan di era pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah yang gemilang suatu masa dahulu.

Semua sudah sedia maklum tentang sejarah penaklukan kota Konstantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Suatu kisah yang pernah diceritakan oleh Nabi SAW lebih 1000 tahun sebelumnya.

“Akan dibuka Kota Konstantinople, sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Keberadaan di Istanbul selama 3 hari merakamkan memori yang tidak akan dilupakan. Ianya adalah pengalaman yang tidak mampu dibeli. Hanya menjadi kenangan orang yang melaluinya sahaja.


UNIKNYA ISTANBUL

Perasaan gembira dan teruja memang tidak dinafikan. Seawal jam 7 pagi, kami besiap-siap untuk memulakan ekspedisi ‘menakluki’ Istanbul. Walaupun badan masih merasa penat berada lebih 15 jam di dalam bas, keindahan serta keunikan bumi Istanbul bagaikan terapi membuatkan kami lebih bertenaga dan melupakan segala keletihan.

Tempat pertama yang kami lawati ialah Masjid Sultan Mehmet  atau lebih di kenali dengan nama Blue Mosque. Antara salah satu mercu tanda kota ini. Masjid yang dibina era pemerintahan Uthmaniyyah mempunyai senibina yang cukup unik. Bermula dari hujung tangga, bahagian dalam masjid hinggalah ke puncak menara, senibinanya sangat indah. Sudah pasti pembuatnya mempunyai daya inspirasi yang tinggi.

Bukan hanya Blue Mosque sahaja, boleh dikatakan semua masjid di Istanbul mempunyai keunikan senibina yang tersendiri, lambang senibina kerajaan Turki Uthmaniyyah. Antara Masjid yang sempat di lawati New Mosque, Suleimaniye Mosque,Fateh Mosque, Eyub Mosque dan banyak lagi. Memang  banyak masjid di Istanbul  dan jarak antara masjid sangat dekat!

Seterusnya kami ke Aya Sophia, terletak berhadapan dengan Masjid Biru. Bangunan in merupakan sebuah gereja sebelum Islam menakluk Konstantinople. Setelah kota ini ditakluki ia beroperasi sebagai masjid.


Di belakang Aya Sophia terletaknya Topkapi Palace, istana kerajaan Uthmaniyyah. Tetapi kami tidak berpeluang untuk masuk kerana istana ditutup pada hari itu, hari selasa seingat saya. Bagi sesiapa yang ingin melawat Turki, harus dikaji terlebih dahulu waktu operasi tempat yang hendak dilawati. Ada tempat tutup hari Isnin, Selasa, Rabu tetapi beroperasi di hujung minggu.

Di Hadapan Blue Mosque

Selain daripada tempat seperti istana, muzium dan masjid, Istanbul menjanjikan pemandangan yang indah. Taman-taman yang di jaga bersih, melihat panorama kota, kawasan  pesisiran selat bhosphorus yang memukau.

Kami sempat mengunjungi Galata Bridge. Jambatan merentasi selat Golden Horn yang menghubungkan Bandar lama Istanbul dan Bandar baru Istanbul. Bagi penggemar makanan laut, di bawah jambatan ini menyediakan pelbagai jenis makanan laut. Tetapi harga agak mahal sesuai dengan tempatnya yang eksklusif.

Satu lagi tempat yang harus dikunjungi jika datang ke Istanbul ialah Galata Tower. Ia merupakan menara tertinggi di sini. Di atas menara ini kita dapat melihat pemandangan keseluruhan kota Istanbul. Pemandangan yang amat mempesonakan.

Di hadapan Aya Sophia

MEMBELI BELAH

Tidak lengkap sebuah percutian jika tiada ole-ole untuk dibawa pulang. Spice Bazar, berhampiran Galata Bridge tidak akan mengecewakan anda. Di sini terdapat banyak pilihan cenderamata seperti t-shirt, key chain, fridge magnet dan sebagainya untuk di bawa pulang sebagai kenangan. Di samping harga yang lebih murah daripada tempat lain. Peniaga pun ramah-ramah belaka.

Kami membeli beberapa jenis cenderamata. Selain cenderamata, manisan Turki juga menjadi buah tangan bagi sesiapa yang mengunjungi Istanbul. Pelbagai jenis manisan di jual di sini. Sedap! Dan harga pun berpatutan. Tidak jauh daripada Spice Bazar, terletaknya Grand Bazar. Juga merupakan tumpuan pelancong untuk membeli belah. Seperti di Spice Bazar, banyak pilihan dan harga berpatutan.

Turkish Delight

Penat berjalan dan membeli belah, sudah tentu perut minta diisi. Pilih sahaja ingin masuk ke kedai mana. Makanan yang terkenal di Turki, ialah kebab. Kebab ayam, kebab daging, kebab ikan pun ada.
Sewaktu di sana kebab menjadi pilihan kami berbanding nasi, kerana harganya lebih murah dan sedap. Kedai fast food pun banyak.

Sekarang berada di Malaysia. Keinginan untuk ke sana lagi makin menebal dek kerana kenangan di sana kian bermain di minda. Lebih-lebih di musim cuti sekolah sebegini memang terasa ingin bercuti.  Cuma aspek kewangan masih di tahap paling rendah. Moga suatu hari nanti dapat ku jejakkan kaki lagi di bumi Istanbul.

Selat Bhosphorus



Sunday, 12 May 2013

Datangnya Rejab Hampirnya Ramadhan



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 

Kita telah memasuki bulan Rejab. Ini bermakna semakin hampirnya kita kepada bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam iaitu bulan Ramadhan. Bila masuk bulan Rejab Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya berdoa dengan doa ini:



اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan"

Rejab. Bulan yang mencatat peristiwa yang besar dalam kalendar umat Islam. Peristiwa perjalanan nabi kita Muhammad SAW dari Mekah ke baitulmaqdis dan perjalanan ke sidratul muntaha dalam tempoh satu malam. Peristiwa ini dikenali sebagai Isra dan Mi'raj.

Mengikut lembaran sirah Baginda SAW, terjadinya peritiwa ini sewaktu kesedihan dan kegelisahan baginda akibat ancaman, ejekan, pemulauan serta tentangan yang daripada musuh-musuh Islam. Apatah lagi pada masa yang sama Nabi Muhammad SAW kehilangan dua figura penting dalam gerakan dakwah baginda. Meraka ialah Khadijah bt Khuwailid isteri baginda dan bapa saudara baginda Abu Tolib.


Terubat kesedihan baginda apabila mendapat undangan daripada Allah SWT untuk ber'isra mi'raj'. Perjalan ini bukanlah satu peritiwa biasa. Ianya mempunyai hemah yang mendalam dalam kehidupan Rasulullah SAW serta memberi satu  nilai yang tinggi bagi umat Islam.


Peristiwa malam 27 Rejab ini mengukuhkan kepercayaan umat Islam kepada perkara-perkara ghaib. Di samping menunjukkan keutamaan ibadah solat. Adapun pensyariatan ibadah seperti zakat puasa dan haji datangnya daripada wahyu melalui perantaraan Jibail a.s, manakala ibadat solat disyariatkan secara terus daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Mengukuhkan lagi sabda nabi " Solat tiang agama".



Sempena dengan hampirnya Ramadhan, kita boleh mula mengatur langkah untuk mencapai kesan langsung daripada ibadah berpuasa di bulan Ramadhan yang Allah sebut dalam al-Quran iaitu taqwa. Perbanyakkan amalan bermula dari sekarang agar kita terus istiqamah dan dapat menjadikan Ramadhan pada tahun ini merupakan Ramadhan yang paling indah pernah kita sambut. InsyaAllah.




Monday, 25 March 2013

Pengajian di Jordan


salah sebuah universiti di Jordan
Muktakhir ini,Jordan semakin mendapat tempat bagi rakyat Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tahun lepas,2012 menyaksikan peningkatan berkali ganda bagi permohonan pelajar lepasan SPM untuk menyambung pengajian dalam program  sarjana muda di Jordan. Tahun ini semestinya lagi ramai yang ingin memohon lantaran pilihan utntuk melanjutkan pengajian ke tanah arab semakin sedikit selepas berlaku pergolakan di Syria.

Disamping 'public figure' di Malaysia yang mana latar belakang pengajiannya di Jordan semakin ramai. Ini menjadi salah satu sumber inspirasi atau semangat untuk meneruskan pengajian di sana. Tambahan pula mendapat sokongan serta dorongan yang jitu daripada ibubapa supanya menyambung pengajian di bumi Anbiya itu.

Di sini sedikit gambaran awal untuk pengajian di Jordan:

Pengajian Tinggi Di Jordan Terdiri Daripada 3 Tahap:
§  Sarjana Muda
§  Sarjana ( Master )
§  Doktor Falsafah ( PhD)

Universiti di Jordan:
§  Jordan of Science And Technology ( Mantiqah Irbid )
§  University of Yarmouk ( Mantiqah Irbid )
§  Jordan University ( Mantiqah Amman )
§  University of Mu’tah ( Mantiqah Mu’tah )
§  University of Al Bayt ( Mantiqah Mafraq )

Bidang Pengajian Yang Ditawarkan:
Pengajian Sains ( hanya di Jordan of Science and Technology )
§  Perubatan / Pergigian
§  Fizik

Pengajian Syariah Islam
§  Pengajian Bahasa Arab
§  Fiqh wa Usul
§  Usuluddin
§  Ekonomi dan Perbankan Islam ( hanya di Universiti Yarmouk )

# Bagi pemohon untuk pengajian sarjana muda, untuk mengetahui syarat-syarat permohonan dan segala maklumat yang berkaitan boleh layari laman [KLIK] (kementerian pengajian tinggi) 

Website persatuan zon di Jordan:
- PRISMA
- PERMAI
- PPMA

Semoga usaha yang kecil ini dapat membantu sedikit sebanyak, Selamat memohon diucapkan, semoga segala impian dan cita-cita anda tercapai, insyaAllah.

Thursday, 16 February 2012

Rintihan Si Kecil Syria




Nama aku Ahmad. Seorang budak lelaki tinggal di Syria. Tiap-tiap hari aku pergi ke sekolah sebelah pagi dan bermain bola bersama kawan-kawan pada waktu petang. Hidup aku sangat bahagia didampingi keluarga tersayang dan dikelilingi ramai kawan.

Namun, kegembiraan aku hilang sedikit demi sedikit.

Minggu lepas abang aku telah dibunuh. Tubuhnya yang tiba-tiba kaku rebah ke tanah. Tidak jauh dari rumah. Darah pekat mengalir deras. Akibat badan ditembusi peluru. Aku bagaikan bermimpi. Tidak percaya dengan khabar kematian orang yang aku sayangi.

Aku lari masuk ke dalam bilik. Aku merasakan seluruh dunia menangis. Dada menjadi sebak. Pernafasan jadi tidak menentu. Air mata membasahi pipi. Begitu juga dengan ibu dan ayah. Wajah suka mereka bertukar duka.

Aku masih tidak mengerti kenapa? Kenapa ianya terjadi? Kenapa mereka membunuh abang?!!

Adakah kerana abang mahukan kebebasan?

Aku masih ingat lagi, abang pernah berjanji akan lawan habis-habisan untuk menuntut kebebasan kami semua. Terpancar semangat berkobar-kobar di wajahnya ketika itu. Dan itulah kali terakhir aku melihat wajahnya.

Tetapi, kenapa tubuhnya diperlakukan sebegitu rupa. Disepak, diludah. Menjadi tempat untuk melepaskan geram. Diperlakukan seolah-olah binatang. Kenapa?!!!

Beberapa hari kemudian, selesai solat Isyak, kami sekeluarga terdengar bunyi yang sangat kuat daripada pintu rumah kami. Aku cuba memberanikan diri tapi badanku menggigil kuat. Begitu juga dengan ibu. Kami berpeluk ketakutan.

Bekalan elektrik rumah kami sudah lama terputus. Aku tidak dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku. Hanya berdoa yang mampu aku dan ibu lakukan ketika itu.

Sejurus pintu rumah kami dipecah, aku dapat rasa air mata mak membasahi bajuku. Aku berasa sangat takut ketika itu.

Beberapa orang lelaki bersenjatakan senapang memecah masuk ke rumah kami. Mereka menjerit kuat. Bertempik. Salah seorang daripada mereka mengacukan senapang ke kepala ayah sambil berkata, “ Adakah kebebasan yang engkau mahukan????”

Ayah membalas “ Ya, memang itu yang kami inginkan selama ini !!! Bebas daripada cengkaman orang zalim !!!! “

BANGGG !

Sebutir peluru menembusi kepala ayah.

Mereka ketawa berdekah-dekah. Tiada langsung perikemanusiaan mereka.

Aku dan ibu menangis ketakutan. Melihat susuk tubuh ayah kaku tidak bernafas. Namun wajahnya terpancar ketenangan. Seolah-olah tiada rasa kesakitan. Aku tahu ‘syahid’ datang mengundang ayah.

Jantungku bagaikan berhenti berdenyut. Tidak mampu bernafas. Tidak dapat menahan sebak dan tangis. Dua orang yang aku sayangi pergi dengan sekelip mata.

Adakah kami tidak layak untuk mengecapi kebebasan??

Sekarang aku mula memahami apa yang sedang berlaku.

Bunyi tembakan, tangisan, teriakan, tempikan. Pada aku ianya seakan sinar kebebasan mula kelihatan.

Kenapa kami tidak boleh cakap apa yang kami mahukan? Kenapa kami tidak boleh merasa aman di negeri kami sendiri??? Kenapa???

Cita-cita dan impian aku berkecai, keluarga aku terkorban, kampong halaman aku juga musnah.

Angkara siapa??? Angkara orang yang sepatutnya melindungi kami. Orang yang sepatutnya membantu kami.

Jangan biarkan kebebasan yang kami cari selama ini hanya menjadi tanda tanya. !!



*************


  اللهمَّ انْصُرْ إخوانَنَا الْمُسْتَضْعَفِين في سوريا اللّهُمَّ انْصُرْ إخْوانَنَا الْمُجاهِدِين في سوريا 



Saturday, 17 December 2011

Bala Allah SWT

Di era kemodenan sekarang, kita menyaksikan keadaan masyarakat yang semakin tenat. Terlampau banyak perkara-perkara mungkar diamalkan dalam kehidupan seharian manusia. Seolah-olah sudah sebati dengan jiwa dan raga masing-masing. Landasan serta aturan agama dipandang remeh bahkan ada yang tidak pernah tahu dan tidak pernah ingin tahu. Dan yang lebih teruk lagi  menghina Islam. Nauzubillah. Jangan sampai mengundang bala Allah SWT.

Jika kita imbau kisah-kisah umat terdahulu, ada yang ditimpa bala yang sangat dahsyat disebabkan oleh mereka menolak ajaran yang dibawa oleh para nabi. Sepertimana yang diceritakan oleh Allah SWT dalam surah al-A'raf, ayat 133, maksudnya :

"Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi)". 

Begitu juga dengan kisah kaum Nabi Luth yang mengamalkan homoseksual dan Allah azabkan golongan 'gay' ini dengan diterbalikkan negeri mereka memusnahkan segala-galanya. Surah Hud, ayat 82 memperlihatkan dengan jelas azabnya, maksudnya :

“Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri Kaum Lut itu yang atas ke bawah ( Kami balikkan ), dan Kami hujani mereka dengan (batu belerang ) tanah yang terbakar secara bertubi-tubi,”.


Selain itu, kaum Thamud yang ditimpakan halilintar, kaum Nabi Nuh diazab dengan banjir yang besar sehingga menenggelamkan gunung ganang, kaum Ad dimusnahkan dengan ribut taufan yang dahsyat. Ini adalah contoh-contoh bala yang telah Allah SWT turunkan untuk umat terdahulu. Semunya disebabkan oleh keenganan mereka untuk mengikut ajaran serta landasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kenapa Allah SWT menurunkan bala kepada hambaNya??


15 PERKARA YANG MENGUNDANG BALA ALLAH

1.     Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu. 
2.     Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan. 
3.     Zakat dijadikan hutang. 
4.     Suami menurut kehendak isteri. 
5.     Anak derhaka terhadap ibunya, 

6.     Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya. 
7.     Suka menjauhkan diri daripada ayahnya. 

8.     Suara sudah ditinggikan di dalam masjid. 
9.     Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka. 
10.   Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya. 
11.   Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat. 

12.   Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki). 

13.   Para artis disanjung-sanjung. 

14.   Muzik banyak dimainkan. 

15.   Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat). 



Kita amat mengharapkan agar bala Allah ini tidak akan berulang lagi. Namun, hakikatnya ramai manusia yang tidak mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Mereka masih lagi meneruskan keseronokan dan bergelumang dengan maksiat tanpa menghiraukan dosa pahala, syurga dan neraka. Sebab itu pentingnya kita mengetahui dan meneliti serta mengambil iktibar daripada kisah umat terdahulu.

"Kalu mung rase gagoh sangat nak lawan hukum Allah, xnak ikut apa yang Allah suruh, try tadoh pale kt mesin tgh pailing bangunan, kalu xdok kesan mende2, buleh la nk lawan Allah pon.." [ Ust Azhar Idrus ]





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...