Pages

Tuesday 7 December 2010

Salam Ma'al Hijrah 1432


Berakhir sudah Zulhijjah,
Menjengah pula Muharram,
Salam Ma'al Hijrah,
Buat seluruh umat Islam...

Hari ini merupakan hari pertama dalam kalendar hijrah. 1 Muharram. Hari memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW daripada kota Mekah ke kota Madinah. Bagi umat Islam, peristiwa ini membawa seribu satu penghayatan. Penghayatan tentang pengorbanan, kesetiaan, kasih sayang serta keyakinan kepada janji Allah SWT yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan juga para sahabat Baginda.

Jika diimbau kembali lipatan sirah Baginda SAW, terlalu banyak ibrah dan pengajaran yang boleh diambil dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Justeru, pentingnya kita mengetahui dan memahami perjalanan hidup Baginda SAW. Sirah nabi bukanlah peristiwa lampau luput begitu sahaja, namun ia merupakan satu penunjuk arah untuk kita generasi selepasnya mendepani kehidupan agar ianya selari dengan landasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Dalam kitab Fiqhus Sirah An-Nabawiyyah karangan Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buty, dijelas secara terperinci tentang kepentingan mempelajari Sirah Nabawiyyah. Antara ringkasan atau 'point' yang boleh diambil :

  1. Memahami peribadi Nabi S.A.W menerusi perjalanan sepanjang hayat baginda.
  2. Supaya manusia dapat mengikut contoh teladan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Andai kata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik yang bersifat universal, mereka akan dapati semuanya terkandung dalam kehidupan Nabi S.A.W
  3. Membantu manusia memahami isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat Al-Quran yang duhuraikan atau ditafsirkan melalui kejadian dan peristiwa dalam kehidupan Rasulullah S.A.W.
  4. Membolehkan para pendidik/ pendakwah mencontohi sistem pengajaran yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
  5. Membantu umat Islam mengetahui kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar, sama ada pengetahuan yang berkaitan dengan aqidah, hukum hakam dalam Islam atau tatasusilanya. Kehidupan Rasulullah S.A.W adalah satu gambaran yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.

Semoga sirah yang dipelajari dapat difahami dan dihayati dengan sebetulnya agar apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian selari dengan kehendak Islam. Diharapkan 1 Muharram yang kita lalui pada hari ini menjadi titik tolak untuk kita sambung apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Menyambung perjuangan menegakkan syiar Islam.

Sempena dengan kedatangan tahun baru hijrah, Salam Ma'al Hijrah diucapkan kepada seluruh umat Islam. Semoga dengan kedatangan baru ini kita tanamkan azam untuk membuat satu anjakan paradigma dalam diri kita. 'Hijrah' daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kita buat penambahbaikan lagi agar kita menjadi Muslim yang cemerlang di dunia dan juga akhirat.



- SALAM MA'AL HIJRAH 1432 -

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...