Pages

Tuesday, 25 November 2014

Menulis

Macam mana nk mula menulis? Apa yang nak ditulis?

Persoalan biasa bagi bekas penuntut timur tengah yang menyambung MA di universiti tempatan. Termasuklah aku. Konfius! Blur! Pening arr!

Graduan timur tengah majoritinya tiada pendedahan tentang penulisan. Khususnya penulisan dalam penyelidikan seperti artikel, proceeding, tesis dan sebagainya. Ini merupakan faktor utama timbulnya persoalan di atas. Universiti di timur tengah khususnya dalam bidang pengajian Islam tidak didedahkan dengan assignment sepertimana di university tempatan. Bila balik Malaysia, sambung master, berdepan dengan assignment dan tesis, mulalah rasa kekok. Lebih-lebih lagi assignment dan tesis perlu mengikut gaya-gaya dan format tersendiri. Macam aku di UKM. Gaya UKM.

Sebelum mendaftarkan diri sebagai pelajar postgraduate di UKM, aku ada menghubungi seorang pensyarah di UTM untuk bertanyakan persoalan berkaitan pengajian. Soalan pertama yang ditanya oleh pensyarah terbabit: Degree dulu kt mana? Jordan. Jawabku ringkas. Ok. Awak tak ada basic menulis kan? Sambung beliau lagi. Tak ada. Baik, awak kena datang jumpa saya dahulu. Jangan daftar dulu. Kata beliau lagi. Berdasarkan perbualan ini, dapat dilihat penekanan terhadap kemahiran menulis penting untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di samping menambahkan ilmu melalui pembacaan dan sebagainya.
 
Hajat di hati ingin sambung pengajian di UTM. Namun disebabkan ada sedikit kekangan, niat asal dibatalkan. Akhirnya UKM yang menjadi pilihan. Salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia selain UM, UTM, UPM dan USM.

Sekarang, aku sudahpun melangkah ke semester ketiga pengajian. Fatrah menulis. Berbaki satu semeter lagi masa yang diperuntukkan untuk aku selesaikan penulisan tesis. Memang mencabar. Tanpa pengalaman membuat assignment beserta format dan gaya yang ditetapkan tentu sahaja memerlukan kepada kerja keras. Perlu banyak bertanya dan berbincang dengan orang yang lebih mahir berbanding kita. Persoalan macam mana ingin menulis dan apa yang nak ditulis pasti memotivasikan diri kita untuk mencari jawapan kepada persoalan tersebut.

Pernah terbaca post Dr.OT (2014) di FB beliau:

“Idea tnpa penulisan seperti tiada apa-apa idea. Idea pun ada jangka hayat. Selepas beberapa lama idea mungkin hilang diganti idea lain yang juga akan hilang”

“Jangan tuggu idea perfect. Idea akan perfect bila bila kita mula menulis. Bila kita mula menulis kita akan mula berfikir... Bila berfikir, kita akan "dipaksa" berfikir lagi supaya idea untuk penulisan tersebut dapat dikembangkan lagi”

“Menulis adalah tindakan mekanik bukan magik. Jadi bila ada idea, bangun, buka computer dan menulis. Bukan tunggu magik!”

Betul. Sudah ramai yang memberi nasihat sedemukian rupa. Hendak menulis kita perlu mula ‘menulis’. Pastikan pen sentiasa ditangan. Datang idea terus catatkan.
Pernah juga pensyarah-pensyarah di sini bagi tips. Jika tida pen hendak mencatat, mungkin sedang memandu atau sebaginya, rakam suara kita melalui telefon. Idea yang datang pasti akan hilang dan diganti dengan idea baru yang juga pasti akan hilang.

Antara nasihat lain yang diperolehi. Jangan fobia dengan gaya dan format penulisan. Perkemaskan kemahiran teknikal dalam penulisan. Pentingnya kemahiran tersebut bagi melayakkan kita untuk melangkah lebih jauh, menaiki tangga yang lebih tinggi dalam bidang akademik.

Sekian.

musoza|bangi
25Nov2014






Sunday, 26 October 2014

Kenangan



Kadang-kadang.. bukan kenangan pahit yang membuatkan kita bergelinangan air mata..tetapi..kenangan manis yang kita tahu ianya tidak akan berulang kembali.

Lalui kehidupan harian kita dengan sebaiknya
supaya kita tidak mengeluh di kemudian hari
kata orang "don't wait for a perfect moment, but take the moment and make it perfect".

Mungkin ketika itu kita tidak merasakan masa yang sedang dilalui tidak berharga..
tetapi..
sampai satu ketika..
kita akan berasa rugi.
tidak menggunakan masa yan telah dilalui dengan sebetulnya.. 

Namun.
itulah kita..
bila berada di depan mata tidak merasa apa-apa..
bila sudah jauh ditinggalkan..
mulalah..
keluar ucapan yang tidak sepatutnya..
" Alangkah baiknya jika dulu...."




Sunday, 23 February 2014

Tutup Lampu Sebelum Tidur!

Tidur tanpa memadamkan lampu.

Ada di kalangan kita yang tidur dalam cerah. Iaitu tidur pada waktu malam tanpa memadamkan lampu di dalam bilik. Dan ada yang tidak dapat lelapkan mata jika lampu dipadamkan. Kita memadang rendah tentang perkara ini, sedangkan ia mempunyai kesan langsung terhadap sistem biologi tubuh badan kita.

Saya tertarik dengan satu artikel yang disiarkan dalam majalah Anis. Majalah ini saya perolehi setelah saya mengisi borang kaji selidik sekumpulan pelajar UKM beberapa bulan lepas. Cenderahati atas kesanggupan saya meluangkan masa untuk mengisi borang kaji selidik mereka. Keluaran Jun 2012. Walaupun keluaran lama, tapi ilmu dan maklumat dalamnya tidak kira lama atau baru, semuanya bermanfaat.

Dalam artikel tersebut menyatakan:

Apa yang membuatkan kita tidur ialah pertukaran paras hormon MELATONIN yang beredar dalam tubuh kita. Pada siang hari, cahaya merangsang satu bahagian otak supaya memberitahu kalenjar pineal untuk mengurangkan paras melatonin apabila cahaya siang menjelma dan meningkatkannya pada sebelah malam ketika cahaya dipadamkan.

Jika tidur di waktu malam dalam keadaan terang akan mengelirukan kalenjar pineal untuk memberitahu tubuh bahawa sudah tiba masanya untuk tidur. Hal ini kerana cahaya yang diterima ketika itu akan menyebabkan kalenjar pineal tidak bertindak mengikut 'fitrah'nya dan akan mengurangkan penghasilan melatonin.


Kesan kurang melatonin?

Tanpa melatonin secukupnya kita lebih mudah mengalami gangguan tidur lesu, depresi dan pelbagai jenis penyakit yang melemahkan sistem-sistem lain di dalam tubuh.


Antara Manfaat Melatonin:


  • Penawar kepada pencemaran yang masuk ke dalam tubuh seperti asap dan bahan kimia.
  • Menyokong sistem jantung. Paras melatonin yang rendah adalah lazim di kalangan pesakit koronori jantung.
  • Antikatarak. Katarak biasanya disebabkan oleh tekanan oksidatif terhadap mata. Maka paras aktiviti antioksidan melatonin yang baik membantu menghalangnya daripada terbentuk.
  • membantu merendahkan tekanan darah. Salah astu sebab mengapa tekanan darah selalunya rendah pada waktu malam berkait rapat dengan melatonin. Beberapa kajian melaporkan bahawa melatonin membantu merendahkan tekanan darah tinggi bagi pesakit darah tinggi. Golongan ini mempunyai paras melatonin yang rendah. Ini menunjukkan dengan mengoptimumkan paras melatonin secara semulajadi amat penting dalam mengawal tekanan darah. Tidur dalam gelap gelita adalah cara terbaik meningkatkan paras melatonin secara semulajadi.
  • Membantu pertumbuhan rambut. Kajian yang dilakukan oleh Universiti Friedrich Schiller, Jerman mendapati melatonin meningkatkan pertumbuhan rambut di kalangan wanita yang mengalami masalah rambut gugur.
  • Melegakan migrain dan sakit kepala. Beberapa kajian melaporkan orang yang kerap mengalami migrain dan sakit kepala adalah disebabkan paras melatonin yang kurang.

Jika pernah bermalam di hotel-hotel pastinya tidur lebih lena berbanding di rumah. Tilam yang empuk dan bilik ber'aircond' barangkali membantu tidur kita. Namun yang lebih membantu tidur yang lena ialah kerana bilik-bilik hotel menjadikan gelap yang total apabila lampu dimatikan.

Untuk merangsang penghasilan melatonin secara semulajadi, perlulah memaksimumkan pendedahan diri kepada cahaya matahari pada siang hari dan memaksimumkan kegelapan di bilik tidur pada waktu malam. Seeloknya gelap yang total!

Monday, 2 December 2013

Hujan

Hujan. Rain. أمطار

Hari ini hujan membasahi bumi rata-rata seluruh Malaysia. Dari pagi hingga ke malam tanpa henti. Adakala lebat kemudian diselang-seli rintik serta gerimis menyapu segala debu-debu yang mengotori alam. Terasa nyaman bila udara bersih, dibersih air hujan yang jatuh ke tanah. Hujan yang membawa seribu kerahmatan.

Nabi junjungan SAW pernah berpesan supaya berdoa dengan doa ini ketika hujan.

اللهم صيبا نافعا
"Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat"
Firman Allah SWT:


Maksudnya: "Dialah yang telah menurunkan air (hujan) dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuhan, padanya kamu mengembalakan ternakmu" (An-Nahl: 10)


Besarnya rahmat Allah SWT, semua kehidupan dapat mengambil manfaat daripada turunnya hujan. Manusia beroleh sumber air yang mencukupi, dapat menhirup udara yang bersih serta segar. Menyuburkan tumbuhan serta menyihatkan ternakan. Tanpa hujan, sudah pasti keseimbangan alam terjejas.

Namun, dengan hujan juga boleh membawa kepada bencana banjir kepada manusia. Ianya tidak lain sebagai satu ujian dan peringatan untuk umat manusia supaya tidak leka, dan yakin hanya Allah sahaja Yang Maha Kuasa dan kepadaNya tempat mengadu dan meminta sesuatu.

Walau bagaimanapun, keyakinan harus ditanam dalam diri bahawa segala sesuatu yang berlaku, baik atau buruk, punyai 1001 hikmah yang tersirat.

pic: google images

# Kita semestinya tidak sanggup berdiri dalam hujan kerana ianya pasti menyebabkan pakaian basah kuyup. Namun semua itu boleh dilakukan dengan adanya payung. Begitulah juga keyakinan dalam kehidupan seharian boleh dianalogikan sebagai payung tika lebatnya hujan. Dengan keyakinan dalam diri, segala ujian serta halangan pasti dapat diatasi.


# sekadar coretan simple daripada orang biasa. Sehingga ke saat noktah terakhir pada ruangan ini, hujan masih lagi turun. Syukur kepadaMu Ya Allah, sehingga ke detik ini masih lagi diberi kesempatan mengecapi luasnya rahmat dan nikmat dariMu.


musoza|Bangi

3Dis2013
00:15

Thursday, 28 November 2013

Konsep Bai' Inah

Sistem kewangan dan ekonomi kebanyakannya dimonopoli oleh institusi kewangan konvensional. Seperti sedia maklum, konsep konvensional semestinya tidak akan lari daripada unsur riba. Namun, hari ini institusi kewangan Islam telah mengorak langkah lebih jauh memperkenalkan banyak produk-produk kewangan yang berlandaskan Islam yamg mampu bersaing dengan institusi kewangan konvensional.

Antara konsep penting yang diaplikasikan dalam produk-produk institusi kewangan Islam ialah Bai' Inah. Konsep Bai' Inah banyak digunakan dalam sektor perbankan yang berteraskan Islam. Kebiasaannya konsep ini diamalkan dalam produk pembiayaan (financing)


Apa itu Bai' Inah

Bai' Inah boleh diertikan sebagai satu kontrak/akad yang membabitkan urusniaga jualan dan pembelian semula aset oleh penjual. Dalam urus niaga ini, penjual menjual aset kepada pembeli secara tunai dan kemudian membelinya semula secara pembayaran tertangguh dengan harga yang lebih tinggi daripada harga jualan secara tunai. Ia juga boleh berlaku apabila penjual menjual aset secara pembayaran tertangguh dan membelinya semula secara tunai dengan harga yang lebih rendah.

Sebagai contoh di mana seseorang yang memerlukan wang tunai datang kepada seseorang yang lain untuk memohon pinjaman. Pihak pemiutang enggan memberikan pinjaman kecuali beliau akan mendapat keuntungan daripada pinjaman itu dan dalam masa yang sama beliau menyedari keuntungan itu akan menyebabkan kepada berlakunya riba yang jelas diharamkan oleh Islam.

Oleh yang demikian pemiutang mengambi inisiatif menjual sesuatu barang kepada penghutang dengan harga tangguh kemudian pemiutang membeli semula barang tersebut secara tunai dengan harga yang lebih rendah. Konsep inilah dinamakan sebagai bai’ inah.


Penjelasan

Kebiasaannya kaedah ini digunakan dalam produk pembiayaan peribadi. Secara konsepnya, ia mempunyai dua kontrak/akad. Pertama, kontrak jual beli antara bank dengan pelanggan. Bank akan menjualkan sesuatu aset kepada pelanggan dengan harga tangguh (ansuran). Kedua, kontrak pembelian semula aset yang dijualkan kepada pelanggan. Iaitu bank membeli semula aset tersebut dengan dengan harga tunai. 

Dalam konteks ini, seolah-olah bank bertindak sebagai pemiutang dan akan mendapat faedah berdasarkan harga kredit dan harga tunai daripada transaksi itu. Namun ianya dihelahkan dengan berpindah daripada kontrak pinjaman kepada kontrak jual beli barangan yang dihalalkan oleh Islam dan dapat mengelak daripada unsur riba.


Dalil-Dalil Pengharusan Bai’ Inah

Walaupun kebanyakan ulama’ Timur Tengah berkeras mengharamkan Bai’ Inah, namun Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia mempunyai pendirian serta pendapat yang tersendiri dalam mengharuskan kontrak ini. Antara dalil-dalilnya ialah:

1)      Firman Allah Taala :

Maksudnya: “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang kemasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”  (Al-Baqarah: 275)

Dua perjanjian jual beli yang berlaku secara berasingan dan bebas, tidak berkaitan antara satu sama lain serta menggunakan lafaz jual beli yang berlandaskan syarak merupakan elemen-elemen penting dalam akad bai’ inah yang selari dengan tuntutan di atas. Oleh itu, dua perjanjian jual beli bai’ inah antara penjual dan pembeli berdasarkan elemen-elemen tersebut adalah sah di sisi syarak.

2)      Sebahagian fuqaha’ mazhab Syafie serta sebahagian daripada mazhab Hanafi seperti Imam Abu Yusuf berpandangan bahawa bai’ inah adalah harus.

3)      Imam Syafie telah menghuraikan tentang keharusan bai’ inah dalam kitabnya al-Umm seperti yang berikut :

“Apabila seseorang telah menjual sesuatu barang dalam sesuatu tempoh dan pembeli telah menerimanya, maka tidaklah menjadi kesalahan jika dia membelinya semula  daripada orang yang telah membeli barang tersebut daripadanya dengan harga yang kurang”

Transaksi ini dibenarkan dalam Islam sepertimana keputusan Mesyuarat Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS) ke-8 memutuskan bahawa urusniaga yang berasaskan bai’ Inah dalam pasaran wang antara bank secara Islam adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
  • Urus niaga bai’ Inah mestilah mengikut kaedah yang diterima oleh mazhab Syafie; dan
  •  Barangan yang diurusniagakan mestilah bukan barangan ribawi.


Syarat-Syarat Bai’ Inah

Bagi menyelaraskan penggunaan Bai’ Inah dalam industry kewangna Islam, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarat-syarat sah Bai’ Inah :

  1. Mempunyai dua akad jual beli yang jelas dan berasingan iaitu akad pembelian dan akad penjualan.
  2. Tiada syarat pembelian semula aset dalam akad.
  3. Waktu berlaku setiap akad adalah berbeza.
  4. Turutan akad yang betul. Iaitu akad jual beli pertama hendaklah disempurnakan terlebih dahulu sebelum akan jual beli kedua dijalankan.
  5. Berlaku pemindahan hak milik aset serta wujud penguasaan ke atas aset (qabd) yang sah berdasarkan syara’ dan amalan perniagaan semasa (urf tijari)



Antara contoh bank-bank yang menggunakan bai’ inah sebagai konsep untuk produk mereka ialah, AmIslamic Bank dengan produk kad kredit dan debit At-Taslif Card I-Features. Selain itu, Bank Rakyat menyediakan pembiayaan peribadi, Qiradh Investment Account-I (SPBR), Bank Simpanan Nasional, Pembiayaan peribadi-I BSN I-BPA. Bank OCBC al-Amin juga menggunakan konsep bai’ inah dalam pembiayaan peribadi mereka iaitu Cash Finacing-I.


Sumber:
-Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam BNM edisi kedua
-Kertas Kerja International Conference on Corporate Law2009/ Dr Azizi Abu Bakar, UUM


musoza|Bangi
28Nov2013

Monday, 8 July 2013

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1434H

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (2:183)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...