Pages

Friday, 22 April 2011

Ulama' Pewaris Anbiya'


Assalamualaikum..

Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak menulis di laman ini, akhirnya hari ini dapat meluangkan masa untuk mencoret sedikit perkongsian. Sekadar coretan ringan untuk perkongsian bersama.

Alhamdulillah, hari ini berpeluang bertemu dengan seorang ulama' yang terkenal, Al-'Alamah Habib Umar Al-Hafiz di Masjid Jaafar At-Tayyar, Mazar dalam siri jelajah Jordan. Beliau berkesempatan menyampaikan khutbah Jumaat dan menziarahi makam syuhada' Perang Mu'tah iaitu Jaafar bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abdullah bin Rawahah.

Terasa tenang di jiwa apabila melihat wajah beliau apatah lagi bersalam dan mengucup tangannya. Terpancar nur keimanan dan ketenangan di wajahnya. Sabda Rasulullah SAW :

إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)


Istilah ulama' digunakan kepada orang yang benar-benar mampu menguasai ilmu agama. Di zaman sekarang, hampir tiada lagi ulama' yang mampu menguasai pelbagai ilmu melainkan yang hanya pernah mempelajari pelbagai bidang dan mampu menguasai beberapa bidang sahaja. Berbeza dengan ulama' terdahulu. Dialah ulama' fiqh, dialah ulama' bahasa, dialah ulama hadis, tafsir dan sebagainya.

Dengan erti kata lain, semakin hari ulama' semakin berkurangan. Tambahan pula masyarakat pula sudah tidak mengambil peduli lagi tentang ulama'. Mereka lebih suka memuja para artis yang sememangnya tidak mendatangkan sedikit kebaikan pun kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW :

إنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.”(HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Ramai orang pada hari ini beranggapan mereka mampu mengatur urussan duniawi mereka sendiri tanpa perlu melibatkan golongan ulama'. Bahkan ulama' dianggap sebagai kelompok yang tidak mengetahui situasi atau kondisi zaman moden, tidak memahami perkembangan zaman, tidak mengikut arus kemodenan dan hanya berbicara dalam masalah ibadat dan akhirat semata-mata. Tetapi mereka silap.

Akhirnya, timbul pelbagai masalah walaupun hidup senang dilimpahi dengan nikmat dunia. Hati tidak tenteram, rasa terancam, jiwa kacau, hidup huru hara dan sebagainya. Hal ini akibat daripada sikap mereka sendiri yang meremehkan golongan ulama' dan mengatur urusan duniawi mereka tanpa berlandaskan syariat Islam.

Dengan waktu yang semakin singkat, masa yang berjalan semakin pantas, kita sebagai orang Islam perlu mengambil ilmu daripada para ulama'. Tidak memperlekehkan golongan ulama'. Sentiasa berdampingan dengan golongan ulama'. Kehidupan di dunia ini tidak akan berjalan mengikut landasannya tanpa bimbingan para pewaris nabi ini.

Pelajar-pelajar Mu'tah di Masjid Jaafar At-Tayyar..
(gambar, kredit to Saifullah Isa)





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...