Pages

Thursday, 5 August 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Bulan Sya’ban bakal meninggalkan kita semua. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal memasuki gerbang Ramadhan, medan untuk menguji tahap keimanan dan kualiti ibadah yang kita lakukan dan bulan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya mengerjakan ibadah puasa sepertimana yang telah termaktub dalam Al-Quranul Karim :

“ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”. (al-Baqarah : 183)

Dalam bulan ini juga kita digalakkan untuk meningkatkan amal ibadat dan sentiasa memohon keampunaan serta keredhaan Allah S.W.T sepertimana hadis nabi yang mengatakan pada awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan pengakhirannya adalah dihindarkan daripada api neraka. Justeru kita perlu merebut peluang yang telah Allah sediakan kepada kita yang mana peluang yang tidak diperolehi dalam bulan-bulan yang lain.

Namun, persoalannya adakah kita telah bersedia mental dan fizikal untuk mengharungi bulan rahmat ini selama sebulan. Adakah apabila masuk bulan ramadhan barulah kita mahu memperbaiki segala amal ibadah kita. Sepatutnya pada bulan-bulan lain lagi kita telah memperbaiki segala kelemahan kita dalam beribadat dan pada bulan ramadhan kita hanya mempertingkatkan lagi amal ibadat yang telah kita kukuhkan sebelum datangnya bulan yang penuh dengan berkat ini.

Dalam bulan Sya’ban yang masih berbaki beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita membaiki segala amal ibadat kita dan membuat persediaan yang rapi agar kita dapat melalui bulan Ramadhan dengan selesa dan hati yang tenang. Bukan ganjaran yang kita mahukan, tetapi keredhaan Allah Taala yang kita dambakan. Dengan redha Allah S.W.T sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada sebarang azab seksaan di Hari Kiamat kelak.

Apa yang diharapkan, Ramadhan pada tahun ini dapat kita lalui dengan lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.

Kala berakhir senja Sya’ban
datanglah sabit bulan Ramadhan
Jika diri ada kesalahan
sudilah hati buka kemaafan

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...