Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza.....
Ungkapan ini selalu diulang-ulang bila tiba bulan Ramadhan. Namun sejauh manakah penghayatan kita ke atas ungkapan yang selalu disebut-sebut. Setakat ini, adakah Ramadhan yang sedang dilalui ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas ataupun sebaliknya ?? Tepuk dada tanyalah iman.
Ramadhan sudah masuk hari yang ke-6. Setiap orang pasti mempunyai kenangan Ramadhan yang tersendiri. Kenangan manis, kenangan pahit, semuanya terpahat dalam memori masing-masing. Bagi aku, Ramadhan kali ini berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Perbezaan yang cukup ketara sepanjang 22 tahun aku hidup di dunia ini. Apa tidaknya, kali ini aku menyambut bulan puasa di perantauan. Berjauhan dengan keluarga, jauh daripada saudara mara.
Keadaan ini membuatkan aku mengimbau kembali suasana Ramadhan di tanah air, terutamanya di Kelantan Darul Naim. Aku sempat menyambut Ramadhan di negeri serambi Mekah itu selama 3 tahun. Suasananya sangat meriah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Di sana Ramadhan diimarahkan dengan semaksimanya. Masjid-masjid penuh dengan orang ramai. Malam Ramadhan dihidupkan dengan program-program qiamullail dan ceramah yang dianjurkan oleh masjid-masjid di setiap daerah. Bazar Ramadhan di buka di setiap tempat menunjukkan keberkatan rezeki di bulan Ramadhan. Namun, berbelanjalah seadanya dan jangan membazir.
Perkampungan Ramadhan diwujudkan menambahkan lagi kemeriahannya. Kedudukannya yang strategik menarik tumpuan orang ramai untuk mengerjakan solat tarawikh dan qiamullai di situ. Satu usaha yang cukup baik daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Tuan Guru. Bertepatan dengan jolokan Negeri Kelantan sebagai negeri serambi Mekah. Semoga kerajaan di bawah pimpinan Tok Guru sentiasa mendapat keredhaan dan mendapat lindungan daripada Allah SWT.
Qaryah Ramadhan tahun lepas
Kenangan bertarawikh di masjid-masjid sekitar Bandar Kota Bharu memang tidak dilupakan. Gemersik bacaan imam ketika tarawikh seakan-akan berada di Masjidil Haram, Mekah. Makmumnya melimpah hingga ke kawasan luar masjid. Diselangselikan dengan tazkirah ringkas tetapi mempunyai makna yang cukup mendalam. Suasana Ramadhan, suasana ilmu, suasana ibadah yang mampu memberikan ketenangan.
Terdetik juga di hati untuk menyambut Ramadhan di tanah haram. Mekah dan Madinah. Rasa cemburu melihat rakan-rakan yang akan berangkat ke sana. Mereka diberi peluang menyambut Ramadhan di sana. Pengalaman aku mengerjakan umrah pada bulan Mei yang lepas membuatkan rasa ingin kembali ke Mekah dan Madinah semakin menebal. InsyaAllah, mudah-mudahan aku juga diberi peluang untuk menyambut Ramadhan di sana dan dapat menjejakkan kaki sekali lagi di Tanah Haram. InsyaAllah.
~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~
No comments:
Post a Comment