Pages

Saturday 28 August 2010

Diari Ramadhan: 2 Hari di Sahab

Hari ini sudah masuk hari ke-18 Ramadhan. Alhamdulillah kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengimarahkan bulan yang penuh mulia ini. Semoga Ramadhan kali ini memberikan satu impak yang lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya.
Dua hari lepas aku berpeluang menziarahi Dr.Mustaffa Abu Zaid di kediaman beliau di Sahhab, Amman di samping menemani kawanku yang akan menjadi imam terawih di sana. Kami dikhabarkan, Wilayah Sahhab memang terkenal dengan tempat yang paling banyak masjid berbanding tempat lain di Jordan. Dianggarkan sebanyak 150 buah masjid terbina di sana.
Hajat untuk berada di sana semalaman dilanjutkan disebabkan permintaan Dr.Mustaffa supaya kami tinggal di sana sehari lagi. Aku akur lantaran ajakan Dr.Mustaffa yang bersungguh-sungguh. Memang tidak dapat mengelak kecuali dengan menerima sahaja pelawaan itu dengan hati yang tebuka.
Pengalaman bertandang ke sana memberikan satu kenangan yang cukup berharga. Kami dilayan dengan layanan first class ditambah pula dengan keramahan anak-anak serta pembantu beliau.
Kesempatan berada di rumah Dr.Mustaffa digunakan dengan sepenuhnya. Kami berbual panjang bersama dengan beliau serta anaknya. Pelbagai topik, cerita, pengalaman kami kongsikan bersama. Bermula dengan pengenalan latar belakang beliau sehinggalah kepada kupasan hukum-hukum agama, pengalaman, serta pengetahuan umum berkaitan dengan dunia Islam. Dr.Mustaffa memang dikenali sebagai seorang yang mempunyai thaqafah atau pengetahuan umum yang cukup tinggi.
Apa yang menarik minatku ialah cerita pengalaman Dr.Mustaffa menyertai delegasi asing ke Muktamar PAS yang berlangsung di PUTIK, Kelantan pada bulan Mei yang lepas. Semua memuji Malaysia sebuah negara yang bagus, hebat serta cantik.
Keberadaan kami di sana juga mendapat layanan yang baik daripada penduduk Sahhab. Kami disapa dengan lembut dan bersopan berbeza sekali dengan reaksi penduduk di Mu’tah terhadap orang Malaysia. Mungkin kerana di Mu’tah sudah dibanjiri dengan pelajar asing khususnya pelajar Malaysia dan ini sudah menjadi kebiasaan buat masyarakat di sini.
salah sebuah masjid di Amman

Kami juga dibawa bersiar-siar sekitar Amman oleh saudara kepada Dr.Mustaffa, Abu Anuar. Kami mula mengenali Abu Anuar selepas selesai solat terawih tempat aku dan Syuk menjadi imam. Imam semalaman atas permintaan Dr.Mustaffa. Abu Anuar merupakan bekas pegawai polis dan sekarang memiliki kilang sanyurah dan sosej. (Sanyurah cap "hanaa" tu dia lah yang punya).
Kami dibawa melawat Taman Malik Hussein. Di sana terdapat muzium kereta diraja tetapi kami tidak berpeluang untuk melihatnya kerana muzium itu sudah ditutup. Masjid Malik Hussein yang merupakan salah satu masjid utama di Jordan juga terletak di dalam taman ini. Masjid ini juga menjadi kemegahan rakyat Jordan. Tidak ku sangka ada juga taman seperti ini di Jordan.
Kami diceritakan satu persatu tentang tempat-tempat menarik di sekitar Amman. Apa yang menarik, anak Abu Anuar, Mahmud dan Ahmad juga petah bercerita walaupun umur mereka dalam lingkungan 10 tahun dan 13 tahun. Pengetahuan mereka berkenaan Jordan sangat luas sehinggakan susur galur kerabat diraja pun mereka ketahui. Kagum.
Dua hari di sana terasa begitu pantas berlalu. Pengalamannya cukup bermakna. IsyaAllah jika berkesempatan akan ku jejakkan kaki lagi ke sana. Jutaan terima kasih kepada Dr.Mustaffa dan Abu Anuar serta keluarga mereka atas layanan yang diberikan.

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...