Sunday, 30 June 2013
Saturday, 22 June 2013
Berbelanja di Tanah Abang Jakarta
macet |
“Belanja boleh Bu,
belanja abang, belanja sayang"
Ramah peniaga-peniaga
Pasar Tanah Abang penuh sopan ketika melintasi hadapan kedai mereka. Kata-kata
para peniaga di sana penuh lemah lembut disertai dengan senyuman manis. Itulah
pelaris untuk melariskan perniagaan mereka.
Pasar Tanah Abang atau
lebih dikenali dengan Grosir Tanah Abang bagi penduduk di sana merupakan pusar
borong terbesar di Asia Tenggara. Ia terletak di Jakarta Pusat. Lebih kurang
40km daripada Soekarno Hatta Airport,Jakarta. Antara kawasan paling sesak di
Jakarta. “Macet mas, macet bangat!” inilah kata-kata yang diucapkan pemandu
teksi kepada pelanggannya yang ingin ke Tanah Abang. Sesak! Macam-macam jenis
orang ada di situ.
Blok A |
Empat hari lepas
berkesempatan pergi ke Jakarta. Berada di sana 2 hari berpeluang melihat
sendiri pusat membeli belah yang paling besar pernah dikunjungi. 14 tingkat
termasuk tingkat bawah tanah dan mempunyai beberapa blok. Dan blok yang sempat
singgah hanyalah di blok A dan B. Itu pun beberapa tingkat saja. Memang besar.
Pelbagai jenis barangan yang dijual di situ. Pakaian, kasut, beg, langsir,
kain, barangan perkahwinan dan macam-macam lagi dijual dengan harga yang murah.
SAYANG
“Tak boleh sayang” ucap
seorang peniaga perempuan iras pelakon Indonesia Meyda Sefira bila minta
dikurangkan lagi harga barang. Terus tak jadi nak tawar menawar selepas terkena
penangan ‘sayang’.
Rupa-rupanya di sana ianya
sudah menjadi kebiasaan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan. Agak-agak boleh
ke dipraktikkan di Malaysia? Atau nanti dilabel buang tabiat?
Di sana, pelanggan
tidak perlu risau untuk membawa barang-barang
yang telah diborong di Pasar Tanah Abang tinggi menggunung. Di sana
banyak perkhidmatan ‘porter’ atau tukang angkat barang. Bayar sahaja dan
beritahu mana tempat yang hendak di hantar. Mengalahkan arab Mesir. Gagoh boh!
Jakarta antara bandar
yang paling banyak pusat beli belah. Tidak hairanlah ia terkenal dengan
kesesakan dan kesibukan jalan raya.Pengangkutan awam pun banyak. Angkutan,
bajai, ojek, bas, bimo, teksi dan lain-lain lagi. Orang yang datang memborong
di Jakarta bukan sahaja orang Indonesia dan Malaysia, Filipina, Vietnam, china,
Singapore, Thailand malah orang daripada benua Afrika pun datang.
Belum subuh lagi
peniaga-peniaga sudah keluar menolak gerai beroda untuk ditempatkan di
kawasan-kawasan strategik. Hadapan pusat membeli belah, stesen bas dan tepian
jalan yang sibuk menjadi tempat pilihan mereka.
MAKAN
Syok berbelanja, makan
jangan dilupa. Berada di negari orang, amat rugi jika tidak merasa makanan
mereka. Di tingkat 8 bangunan Grosir Tanah Abang, tersedia ‘footcourt’.
Pengunjung boleh memilih pelbagai hidangan untuk disantap. Masakan minang,
padang semua ada. Yang menarik minat saya ialah Es Doger. Seakan ABC tapi dicampur
dengan kelapa serta tapai. Sedap. Dah cuba baru tahu.
Selamat Pagi jakarta |
Labels:
Kembara
Sunday, 16 June 2013
Bursa : Ski Dan Kebab
Itulah yang boleh diceritakan perasaan ketika papan ski meluncur deras
menuruni kawasan yang lebih cerun. Sakit! Mana tidaknya acap kali terjatuh dan
kaki hampir terseliuh. Walaupun jatuh atas salji tapi salji padat! Sesiapa
sahaja yang melalui pengalaman pertama ber’ski’ pasti tidak boleh lari daripada
sakit-sakit badan akibat terjatuh. Cukup teruja dengan pengalaman pertama
bermain ski di Pergunungan Uludag, Bursa, Turki.
Kami tiba di Bursa pada waktu malam. Di pelabuhan Yenikapi,Istanbul
kami menaiki feri untuk sampai ke Bursa. Feri merupakan pengangkutan altenatif
bagi sesiapa yang ingin menjimatkan masa untuk ke Bursa daripada Istanbul.
Hanya memakan masa 2 jam berbanding menaiki bas, 5 jam perjalanan.
Dengan bantuan pemandu teksi, kami dapat bermalam di salah sebuah hotel
di Bandar Bursa dengan harga yang berpatutan. Hotel Camlibel, terletak
berhampiran dengan Masjid Besar Bursa. Kami rehatkan badan mengumpul energi
untuk melaksanakan tujuan utama kami datang ke sini.
TERUJA
Keesokan hari, usai sarapan kami bergerak ke stesen bas perhampiran
untuk ke stesen kereta kabel. Tujuan asal hendak ke puncak dengan kereta kabel,
namun perkhidmatan kereta kabel untuk ke puncak Uludag pada hari itu sedang
dinaik taraf. Perancangan awal terpaksa ditukar. Kami menaiki kereta kabel
hanya untuk melihat keindahan gunung yang dliliputi salji. Pemandangan yang
sungguh indah! Putih bersih.
White and Blue |
Selesai membekukan tangan dengan kepalan bola salji di stesen perhentian kereta kabel kami berpatah ke stesen utamal. Di sana kami menaiki teksi untuk ke puncak. Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal, kami teruskan niat semata untuk bermain ski. Ada pengangkutan yang lebih murah untuk ke puncak iaitu kenderaan yang dipanggil ‘Dolmus’ (seakan van jenazah).
Menyusuri jalan lereng bukit bersalji, lebih kurang 30 minit kemudian
kami sampai ke Uludag, pusat meluncur salji di Turki. Kawasan pergunungan yang
sangat indah. Tempat yang cantik, luas, salji memutih dan dipenuhi pokok pine.
Suhu ketika itu tidak dapat dipastikan, masing-masing teruja untuk meluncur!
Maklumlah ‘first time’. Suhu sewaktu berada di kaki gunung bawah daripada 5’C,
semestinya di puncak lebih rendah suhunya. Pergi waktu ‘peak winter’ ,perlu
kuat untuk menahan cuaca yang amat sejuk.
PENGALAMAN PERTAMA
Sampai di Uludag, kami mencari kedai yang menawarkan harga yang paling
murah untuk menyewa peralatan ski. Dan, Alhamdulillah kami menjumpainya.
Selesai proses menyewa, kami bersiap. Kasut dipasang ketat, glove
disarung kemas, snow cap dipakai sehingga menutupi telinga.
Pengalaman pertama bermain ski, jatuh, terguling, tergolek adalah
perkara biasa. Bagaikan bayi yang baru belajar bertatih, jatuh bangun tanpa
kenal putus asa. Sepatutnya motovasi sebegini perlu ada dalam setiap tindak tanduk
kita bukan hanya untuk perkara yang kita minati sahaja. Tetapi haruslah tidak
lari daripada landasan yang telah digariskan dalam agama. Barulah dapat
mengukuhkan semangat untuk menempuhi onak dan liku dalam kehidupan.
Meluncur di kawasan yang cerun memang mencabar. Lebih-lebih lagi budak
baru belajar seperti kami. Kami di atas orang ramai di bawah sana. Silap
haribulan semua kena rempuh. Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini
berlaku.
Sejam setengah berhempas pulas, jatuh bangun, bergelak ketawa,
macam-macam aksi yang sempat dirakam sebagai kenangan. Terima kasih diucapkan
kepada pemandu teksi kerana sudi menjadi jurugambar kami. Tika hari menjelang
senja, kami segera turun ke tempat penginapan dibimbangi kabus tebal yang boleh
menghalang perjalanan.
KEBAB BURSA
Badan penat. Letih. Semestinya perut pun lapar. Sebelum makan kami
bersihkan badan dan redakan sedikit kepenatan di Turkish Hamami Sauna. Berendam
dalam jakuzi ketika tubuh dicengkam suhu serendah 1’C terasa amat mendamaikan.
Hilang seketika kepenatan bermain ski. Sakit-sakit badan berkurangan. Hampir 2
jam berada di dalam, cukup men
Selesai sesi menyegarkan badan, kami menuju ke kedai makan. Bursa
Iskander Kebab menjadi pilihan. Kedainya sedikit ‘old skool’. Jika tidak silap,
ia ditubuhkan sejak tahun 1909. Di daerah ini, selain aktiviti sukan luncur dan
khazanah kesenian Islam yang menjadi tarikan pelancong, Kebab Bursa juga
menjadi pilihan pengunjung.
Et Doner Iskander Kebab |
Kebab di sini berlainan sedikit berbanding kebab di kawasan lain.
Hirisan daging yang nipis, dibakar rata, di letakkan di atas kepingan roti dan
dituangkan sos masam manis dan disajikan dengan mayonis. Ditambah pula aroma
daging bakar yang wangi. Fuh! Masih teringat-ingat hingga sekarang. Walaupun
harga sedikit mahal, namun berbaloi. Alhamdulillah atas rezeki dari Nya.
Inilah antara kenangan percutian ‘winter 2012’. Teringat kata-kata
seorang sahabat “ tempat berjalan bukan perkara utama, dengan siapa kita
berjalan yang paling penting”. Moga tetap kukuh terpahat dalam ingatan. Bak kata
pepatah melayu ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan, indah kenangan, kukuh dalam
ingatan’.
Detik manis, saat suka dan duka jika tidak di’rekod’kan, hari berganti
hari pasti akan hilang sedikit demi sedikit. Jika ada ‘rekod’ pasti boleh
dibelek dan diingati kembali.
Ski |
Labels:
Kembara
Saturday, 1 June 2013
Istanbul, Menggamit Memori
Winter 2012, Aku dan
kawan-kawan berpeluang menjejakkan kaki ke Istanbul, Turkey. Sebuah Bandar
perlancongan yang tidak asing lagi bagi kaki ‘travelling’. Kedudukannya di
antara Selat Bhosphorus dan Laut Marmara menjadikan Istanbul satu kawasan yang mempunyai
pemandangan dan panorama yang sangat indah.
Pasti memukau sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke sana.
Tidak kurang hebatnya
khazanah-khazanah Islam yang tersimpan di bumi Istanbul ini. Khazanah warisan di
era pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah yang gemilang suatu masa dahulu.
Semua sudah sedia
maklum tentang sejarah penaklukan kota Konstantinople (Istanbul) oleh Sultan
Muhammad al-Fateh. Suatu kisah yang pernah diceritakan oleh Nabi SAW lebih 1000
tahun sebelumnya.
“Akan dibuka Kota Konstantinople, sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”
Keberadaan di Istanbul
selama 3 hari merakamkan memori yang tidak akan dilupakan. Ianya adalah
pengalaman yang tidak mampu dibeli. Hanya menjadi kenangan orang yang melaluinya
sahaja.
UNIKNYA ISTANBUL
Perasaan gembira dan
teruja memang tidak dinafikan. Seawal jam 7 pagi, kami besiap-siap untuk
memulakan ekspedisi ‘menakluki’ Istanbul. Walaupun badan masih merasa penat
berada lebih 15 jam di dalam bas, keindahan serta keunikan bumi Istanbul
bagaikan terapi membuatkan kami lebih bertenaga dan melupakan segala keletihan.
Tempat pertama yang
kami lawati ialah Masjid Sultan Mehmet atau lebih di kenali dengan nama Blue Mosque.
Antara salah satu mercu tanda kota ini. Masjid yang dibina era pemerintahan
Uthmaniyyah mempunyai senibina yang cukup unik. Bermula dari hujung tangga,
bahagian dalam masjid hinggalah ke puncak menara, senibinanya sangat indah.
Sudah pasti pembuatnya mempunyai daya inspirasi yang tinggi.
Bukan hanya Blue Mosque
sahaja, boleh dikatakan semua masjid di Istanbul mempunyai keunikan senibina
yang tersendiri, lambang senibina kerajaan Turki Uthmaniyyah. Antara Masjid
yang sempat di lawati New Mosque, Suleimaniye Mosque,Fateh Mosque, Eyub Mosque
dan banyak lagi. Memang banyak masjid di
Istanbul dan jarak antara masjid sangat
dekat!
Seterusnya kami ke Aya
Sophia, terletak berhadapan dengan Masjid Biru. Bangunan in merupakan sebuah
gereja sebelum Islam menakluk Konstantinople. Setelah kota ini ditakluki ia
beroperasi sebagai masjid.
Di belakang Aya Sophia
terletaknya Topkapi Palace, istana kerajaan Uthmaniyyah. Tetapi kami tidak
berpeluang untuk masuk kerana istana ditutup pada hari itu, hari selasa seingat
saya. Bagi sesiapa yang ingin melawat Turki, harus dikaji terlebih dahulu waktu
operasi tempat yang hendak dilawati. Ada tempat tutup hari Isnin, Selasa, Rabu
tetapi beroperasi di hujung minggu.
Di Hadapan Blue Mosque |
Selain daripada tempat seperti istana, muzium dan masjid, Istanbul menjanjikan pemandangan yang indah. Taman-taman yang di jaga bersih, melihat panorama kota, kawasan pesisiran selat bhosphorus yang memukau.
Kami sempat mengunjungi
Galata Bridge. Jambatan merentasi selat Golden Horn yang menghubungkan Bandar
lama Istanbul dan Bandar baru Istanbul. Bagi penggemar makanan laut, di bawah
jambatan ini menyediakan pelbagai jenis makanan laut. Tetapi harga agak mahal
sesuai dengan tempatnya yang eksklusif.
Satu lagi tempat yang
harus dikunjungi jika datang ke Istanbul ialah Galata Tower. Ia merupakan menara
tertinggi di sini. Di atas menara ini kita dapat melihat pemandangan
keseluruhan kota Istanbul. Pemandangan yang amat mempesonakan.
MEMBELI BELAH
Tidak lengkap sebuah
percutian jika tiada ole-ole untuk dibawa pulang. Spice Bazar, berhampiran
Galata Bridge tidak akan mengecewakan anda. Di sini terdapat banyak pilihan
cenderamata seperti t-shirt, key chain, fridge magnet dan sebagainya untuk di
bawa pulang sebagai kenangan. Di samping harga yang lebih murah daripada tempat
lain. Peniaga pun ramah-ramah belaka.
Kami membeli beberapa
jenis cenderamata. Selain cenderamata, manisan Turki juga menjadi buah tangan
bagi sesiapa yang mengunjungi Istanbul. Pelbagai jenis manisan di jual di sini.
Sedap! Dan harga pun berpatutan. Tidak jauh daripada Spice Bazar, terletaknya
Grand Bazar. Juga merupakan tumpuan pelancong untuk membeli belah. Seperti di
Spice Bazar, banyak pilihan dan harga berpatutan.
Penat berjalan dan
membeli belah, sudah tentu perut minta diisi. Pilih sahaja ingin masuk ke kedai
mana. Makanan yang terkenal di Turki, ialah kebab. Kebab ayam, kebab daging,
kebab ikan pun ada.
Sewaktu di sana kebab
menjadi pilihan kami berbanding nasi, kerana harganya lebih murah dan sedap.
Kedai fast food pun banyak.
Sekarang berada di
Malaysia. Keinginan untuk ke sana lagi makin menebal dek kerana kenangan di
sana kian bermain di minda. Lebih-lebih di musim cuti sekolah sebegini memang
terasa ingin bercuti. Cuma aspek kewangan
masih di tahap paling rendah. Moga suatu hari nanti dapat ku jejakkan kaki lagi
di bumi Istanbul.
Labels:
Kembara
Subscribe to:
Posts (Atom)