Pages

Saturday, 28 August 2010

Diari Ramadhan: 2 Hari di Sahab

Hari ini sudah masuk hari ke-18 Ramadhan. Alhamdulillah kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengimarahkan bulan yang penuh mulia ini. Semoga Ramadhan kali ini memberikan satu impak yang lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya.
Dua hari lepas aku berpeluang menziarahi Dr.Mustaffa Abu Zaid di kediaman beliau di Sahhab, Amman di samping menemani kawanku yang akan menjadi imam terawih di sana. Kami dikhabarkan, Wilayah Sahhab memang terkenal dengan tempat yang paling banyak masjid berbanding tempat lain di Jordan. Dianggarkan sebanyak 150 buah masjid terbina di sana.
Hajat untuk berada di sana semalaman dilanjutkan disebabkan permintaan Dr.Mustaffa supaya kami tinggal di sana sehari lagi. Aku akur lantaran ajakan Dr.Mustaffa yang bersungguh-sungguh. Memang tidak dapat mengelak kecuali dengan menerima sahaja pelawaan itu dengan hati yang tebuka.
Pengalaman bertandang ke sana memberikan satu kenangan yang cukup berharga. Kami dilayan dengan layanan first class ditambah pula dengan keramahan anak-anak serta pembantu beliau.
Kesempatan berada di rumah Dr.Mustaffa digunakan dengan sepenuhnya. Kami berbual panjang bersama dengan beliau serta anaknya. Pelbagai topik, cerita, pengalaman kami kongsikan bersama. Bermula dengan pengenalan latar belakang beliau sehinggalah kepada kupasan hukum-hukum agama, pengalaman, serta pengetahuan umum berkaitan dengan dunia Islam. Dr.Mustaffa memang dikenali sebagai seorang yang mempunyai thaqafah atau pengetahuan umum yang cukup tinggi.
Apa yang menarik minatku ialah cerita pengalaman Dr.Mustaffa menyertai delegasi asing ke Muktamar PAS yang berlangsung di PUTIK, Kelantan pada bulan Mei yang lepas. Semua memuji Malaysia sebuah negara yang bagus, hebat serta cantik.
Keberadaan kami di sana juga mendapat layanan yang baik daripada penduduk Sahhab. Kami disapa dengan lembut dan bersopan berbeza sekali dengan reaksi penduduk di Mu’tah terhadap orang Malaysia. Mungkin kerana di Mu’tah sudah dibanjiri dengan pelajar asing khususnya pelajar Malaysia dan ini sudah menjadi kebiasaan buat masyarakat di sini.
salah sebuah masjid di Amman

Kami juga dibawa bersiar-siar sekitar Amman oleh saudara kepada Dr.Mustaffa, Abu Anuar. Kami mula mengenali Abu Anuar selepas selesai solat terawih tempat aku dan Syuk menjadi imam. Imam semalaman atas permintaan Dr.Mustaffa. Abu Anuar merupakan bekas pegawai polis dan sekarang memiliki kilang sanyurah dan sosej. (Sanyurah cap "hanaa" tu dia lah yang punya).
Kami dibawa melawat Taman Malik Hussein. Di sana terdapat muzium kereta diraja tetapi kami tidak berpeluang untuk melihatnya kerana muzium itu sudah ditutup. Masjid Malik Hussein yang merupakan salah satu masjid utama di Jordan juga terletak di dalam taman ini. Masjid ini juga menjadi kemegahan rakyat Jordan. Tidak ku sangka ada juga taman seperti ini di Jordan.
Kami diceritakan satu persatu tentang tempat-tempat menarik di sekitar Amman. Apa yang menarik, anak Abu Anuar, Mahmud dan Ahmad juga petah bercerita walaupun umur mereka dalam lingkungan 10 tahun dan 13 tahun. Pengetahuan mereka berkenaan Jordan sangat luas sehinggakan susur galur kerabat diraja pun mereka ketahui. Kagum.
Dua hari di sana terasa begitu pantas berlalu. Pengalamannya cukup bermakna. IsyaAllah jika berkesempatan akan ku jejakkan kaki lagi ke sana. Jutaan terima kasih kepada Dr.Mustaffa dan Abu Anuar serta keluarga mereka atas layanan yang diberikan.

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~

Thursday, 19 August 2010

Salam Imtihan Nihaie

Fatrah imtihan sudah pun membuka tirainya. Segala persiapan sudah dibuat untuk menghadapi peperiksaan akhir bagi sesi semester pendek ini. Walaupun pembelajaran pada semester ini pendek, insyaAllah kita semua dapat menguasai semua yang diajar oleh pensyarah. Study, study dan study. Semoga beroleh kejayaan cemerlang.

Dalam kesibukan kita mengulangkaji pelajaran, tidak seharusnya kita semakin jauh daripada Allah Taala sedangkan sekarang kita berada di bulan Ramadhan. Bulan rahmat, bulan berkat, bulan kesabaran, bulan yang telah dijanjikan oleh Allah keampunan ke atas hamba-hambaNya. Pintu syurga terbuka seluas-luasnya dan pintu-pintu neraka ditutup rapat. Keistimewaan yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun. Adakah kita mahu mengabaikan kelebihan serta keistimewaan bulan rahmat ini. Tentu sekali tidak bukan...

Oleh itu, sama-samalah kita mengimarahkan bulan Ramadhan. Perbanyakkan amal ibadat kita agar beroleh keredhaan Ilahi. Study-study jugak, ibadat jangan lupa. Semoga study kita bernilai ibadah (pinjam trademark org ni...hehe).

Untuk akhirnya, selamat menduduki peperiksaan nihaie buat sahabat-sahabiah sekalian. Semoga kejayaan cemerlang mengiringi kalian semua. Berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Dewan peperiksaan di Afghanistan


~Salam Imtihan Nihaie, Ma'a Taufik Wannajah~

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~


Monday, 16 August 2010

Kenangan Ramadhan lalu

Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza.....

Ungkapan ini selalu diulang-ulang bila tiba bulan Ramadhan. Namun sejauh manakah penghayatan kita ke atas ungkapan yang selalu disebut-sebut. Setakat ini, adakah Ramadhan yang sedang dilalui ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas ataupun sebaliknya ?? Tepuk dada tanyalah iman.

Ramadhan sudah masuk hari yang ke-6. Setiap orang pasti mempunyai kenangan Ramadhan yang tersendiri. Kenangan manis, kenangan pahit, semuanya terpahat dalam memori masing-masing. Bagi aku, Ramadhan kali ini berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Perbezaan yang cukup ketara sepanjang 22 tahun aku hidup di dunia ini. Apa tidaknya, kali ini aku menyambut bulan puasa di perantauan. Berjauhan dengan keluarga, jauh daripada saudara mara.

Keadaan ini membuatkan aku mengimbau kembali suasana Ramadhan di tanah air, terutamanya di Kelantan Darul Naim. Aku sempat menyambut Ramadhan di negeri serambi Mekah itu selama 3 tahun. Suasananya sangat meriah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Di sana Ramadhan diimarahkan dengan semaksimanya. Masjid-masjid penuh dengan orang ramai. Malam Ramadhan dihidupkan dengan program-program qiamullail dan ceramah yang dianjurkan oleh masjid-masjid di setiap daerah. Bazar Ramadhan di buka di setiap tempat menunjukkan keberkatan rezeki di bulan Ramadhan. Namun, berbelanjalah seadanya dan jangan membazir.

Perkampungan Ramadhan diwujudkan menambahkan lagi kemeriahannya. Kedudukannya yang strategik menarik tumpuan orang ramai untuk mengerjakan solat tarawikh dan qiamullai di situ. Satu usaha yang cukup baik daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Tuan Guru. Bertepatan dengan jolokan Negeri Kelantan sebagai negeri serambi Mekah. Semoga kerajaan di bawah pimpinan Tok Guru sentiasa mendapat keredhaan dan mendapat lindungan daripada Allah SWT.

Qaryah Ramadhan tahun lepas


Kenangan bertarawikh di masjid-masjid sekitar Bandar Kota Bharu memang tidak dilupakan. Gemersik bacaan imam ketika tarawikh seakan-akan berada di Masjidil Haram, Mekah. Makmumnya melimpah hingga ke kawasan luar masjid. Diselangselikan dengan tazkirah ringkas tetapi mempunyai makna yang cukup mendalam. Suasana Ramadhan, suasana ilmu, suasana ibadah yang mampu memberikan ketenangan.

Terdetik juga di hati untuk menyambut Ramadhan di tanah haram. Mekah dan Madinah. Rasa cemburu melihat rakan-rakan yang akan berangkat ke sana. Mereka diberi peluang menyambut Ramadhan di sana. Pengalaman aku mengerjakan umrah pada bulan Mei yang lepas membuatkan rasa ingin kembali ke Mekah dan Madinah semakin menebal. InsyaAllah, mudah-mudahan aku juga diberi peluang untuk menyambut Ramadhan di sana dan dapat menjejakkan kaki sekali lagi di Tanah Haram. InsyaAllah.

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~


Wednesday, 11 August 2010

Fuhh...~

Hari ini merupakan hari pertama Ramadhan. Lagi 5 jam azan maghrib akan berkumandang menandakan masuknya waktu solat fardhu maghrib dan waktu berbuka puasa bagi negara Jordan dan kawasan-kawasan yang seumpama dengannya.

Pekan Mu'tah sesak dengan pelbagai ragam manusia. Tua, muda,kanak-kanak, dewasa, lelaki, wanita. Semuanya dengan ragam dan perangai masing-masing.

Gerai Qutayif sudah mula beroperasi. Qutayif merupakan kuih yang hanya dijual ketika bulan Ramadhan. Tidak pada bulan-bulan yang lain. Kelihatan orang-orang arab di sini berpusu-pusu membeli Qutayif. Maklumlah hari pertama Ramadhan. Hari ini juga merupakan hari terakhir sesi kuliah aku untuk penggal ini dan pada minggu hadapan terpaksa menempuhi fatrah peperiksaan akhir. Hanya menunggu peperiksaan akhir pada minggu hadapan.

Kadang-kadang rindu pada kampung halaman datang mengetuk lubuk perasaanku lantaran sudah masuk kali kedua aku menyambut Ramadhan di sini. Berjauhan dengan keluarga. Puasa di sini tidak semeriah puasa di tanah air. Namun semangatku untuk menyambut bulan mulia ini tidak pernah luntur biarpun kemeriahannya tidak sama seperti di Malaysia. Tiada qaryah Ramadhan, tiada ceramah Ramadhan, tiada bazar Ramadhan, tiada alunan selawat antara dua solat tarawikh tetapi tidak semestinya masyarakat di sini tidak mengimarahkan bulan rahmat ini.

Banyak perkara yang sedang bermain dalam fikiran. Yuran pengajian untuk semester akan datang belum lagi dibayar. Pendaftaran subjek tertunda. Di tambah lagi dengan kekurangan wang untuk menyara hidup di sini. Duit sara hidup yang dijangka kuperolehi pada bulan Julai lepas masih belum kuterima lagi. Hajatku untuk menyempurnakan baki Ramadhan di Syria selepas tamat peperiksaan semester ini mungkin terpaksa dilupakan. InsyaAllah ada hikmah disebaliknya.

Kondisi sekarang memang tidak teratur tambahan musim panas di Jordan ini sedikit sebanyak mengganggu emosiku dan aku yakin bukan aku seorang sahaja yang mengalaminya. (sori kwn2 klau aku moody skit time soifi ni).

Ya Allah, tabahkanlah hatiku...Kuatkanlah semangatku...

Namun, kehidupan perlu diteruskan. Masih banyak lagi rintangan, cabaran dan dugaan yang bakal menguji kita. Kuatkan semangat. Panjatkan doa kepada Yang Maha Mengetahui. Moga, perjalanan hidup kita seiiring dengan landasan dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Hidup di dunia hanyalah sementara. Nun, akhirat sana yang kekal abadi.


SELAMAT MENYAMBUT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK




Thursday, 5 August 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Bulan Sya’ban bakal meninggalkan kita semua. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal memasuki gerbang Ramadhan, medan untuk menguji tahap keimanan dan kualiti ibadah yang kita lakukan dan bulan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya mengerjakan ibadah puasa sepertimana yang telah termaktub dalam Al-Quranul Karim :

“ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”. (al-Baqarah : 183)

Dalam bulan ini juga kita digalakkan untuk meningkatkan amal ibadat dan sentiasa memohon keampunaan serta keredhaan Allah S.W.T sepertimana hadis nabi yang mengatakan pada awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan pengakhirannya adalah dihindarkan daripada api neraka. Justeru kita perlu merebut peluang yang telah Allah sediakan kepada kita yang mana peluang yang tidak diperolehi dalam bulan-bulan yang lain.

Namun, persoalannya adakah kita telah bersedia mental dan fizikal untuk mengharungi bulan rahmat ini selama sebulan. Adakah apabila masuk bulan ramadhan barulah kita mahu memperbaiki segala amal ibadah kita. Sepatutnya pada bulan-bulan lain lagi kita telah memperbaiki segala kelemahan kita dalam beribadat dan pada bulan ramadhan kita hanya mempertingkatkan lagi amal ibadat yang telah kita kukuhkan sebelum datangnya bulan yang penuh dengan berkat ini.

Dalam bulan Sya’ban yang masih berbaki beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita membaiki segala amal ibadat kita dan membuat persediaan yang rapi agar kita dapat melalui bulan Ramadhan dengan selesa dan hati yang tenang. Bukan ganjaran yang kita mahukan, tetapi keredhaan Allah Taala yang kita dambakan. Dengan redha Allah S.W.T sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada sebarang azab seksaan di Hari Kiamat kelak.

Apa yang diharapkan, Ramadhan pada tahun ini dapat kita lalui dengan lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.

Kala berakhir senja Sya’ban
datanglah sabit bulan Ramadhan
Jika diri ada kesalahan
sudilah hati buka kemaafan

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...