Pages

Monday, 27 December 2010

Ambillah Iktibar Sejarah Terdahulu


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu video pengakuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘gay’. Video I’m gay I’m ok itu seolah-olah ingin memutar-belitkan pemikiran masyarakat. Dengan kata-kata tagihan simpati agar masyarakat memahami golongan mereka mendapat jutaan cemuhan daripada orang ramai. Dia seperti sudah hilang malu. Ingin masyarakat memahami diri mereka sedangkan mereka sendiri tidak memahami diri sendiri. Adakah amalan yang betul-betul songsang dengan fitrah manusia itu dikatakan ‘masuk’ dengan jiwa mereka? Alangkah bodohnya mereka.

Manusia telah diciptakan oleh Allah SWT dengan fitrah semulajadi. Dan salah satu fitrah semulajadi itu adalah lelaki berkehendakkan kepada pasangannya iaitu wanita dan sebaliknya. Jika manusia melawan fitrah semulajadi yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT, maka nantikanlah azab dariNya.

Di dalam Al-Quran telah dirakamkan sejarah umat terdahulu. Antara sejarahnya adalah kaum Nabi Luth yang mengamalkan amalan homoseksual. Perlakuan ‘gay’ yang telah diamalkan oleh kaum Nabi Luth dahulu telah mendapat kemurkaan daripada Allah SWT. Walaupun telah diutuskan seorang nabi untuk mengajak meraka kembali kepada fitrah, namun mereka masih melawan apa yang telah ditegah oleh Allah SWT. Nah, satu azab yang dahsyat telah Allah timpakan ke atas mereka. Bumi telah diterbalikkan dan ditelingkupkan ke atas golongan yang ingkar ini.


Ayat ke-82, surah Hud memperlihatkan secara jelas azab yang menimpa kaum Nabi Luth :

فَلَمَّا جَاء أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maksudnya: “Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri Kaum Lut itu yang atas ke bawah ( Kami balikkan ), dan Kami hujani mereka dengan (batu belerang ) tanah yang terbakar secara bertubi-tubi,”.


Allahuakbar !!


Kesan azab Allah SWT masih boleh dilihat pada hari ini. Laut Mati, Jordan merupakan kawasan peninggalan kaum songsang yang telah diazab. Banyak peninggalan Nabi Luth yang masih kekal, antaranya ialah runtuhan kota, artifak-artifak lama dan sebagainya. Hari ini, ramai pelancong melawat kawasan tersebut tetapi sejarah dan pengiktibara berkenaan tempat tersebut tidak diambil tahu.


'kesan azab Allah, semoga dapat mengambil iktibar'


Justeru, penting bagi kita mempelajari sejarah-sejarah umat terdahulu dan memahami apa yang telah Allah SWT rakamkan di dalam Al-Quran agar kehidupan yang sedang kita lalui berada di landasan yang betul. Jangan sampai hidup kita dimurkai Allah.


Ya Allah.. Ampunilah dosa-dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk membawa manusia ke landasan yang diredhaiMu. Bukalah pintu hati kami dan pintu hati masyarakat yang bakal kami depani Ya Allah..limpahilah rahmat dan kasih sayangMu ke atas kami Ya Allah.. Ya Rahman..

Tuesday, 7 December 2010

Salam Ma'al Hijrah 1432


Berakhir sudah Zulhijjah,
Menjengah pula Muharram,
Salam Ma'al Hijrah,
Buat seluruh umat Islam...

Hari ini merupakan hari pertama dalam kalendar hijrah. 1 Muharram. Hari memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW daripada kota Mekah ke kota Madinah. Bagi umat Islam, peristiwa ini membawa seribu satu penghayatan. Penghayatan tentang pengorbanan, kesetiaan, kasih sayang serta keyakinan kepada janji Allah SWT yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan juga para sahabat Baginda.

Jika diimbau kembali lipatan sirah Baginda SAW, terlalu banyak ibrah dan pengajaran yang boleh diambil dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Justeru, pentingnya kita mengetahui dan memahami perjalanan hidup Baginda SAW. Sirah nabi bukanlah peristiwa lampau luput begitu sahaja, namun ia merupakan satu penunjuk arah untuk kita generasi selepasnya mendepani kehidupan agar ianya selari dengan landasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Dalam kitab Fiqhus Sirah An-Nabawiyyah karangan Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buty, dijelas secara terperinci tentang kepentingan mempelajari Sirah Nabawiyyah. Antara ringkasan atau 'point' yang boleh diambil :

  1. Memahami peribadi Nabi S.A.W menerusi perjalanan sepanjang hayat baginda.
  2. Supaya manusia dapat mengikut contoh teladan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Andai kata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik yang bersifat universal, mereka akan dapati semuanya terkandung dalam kehidupan Nabi S.A.W
  3. Membantu manusia memahami isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat Al-Quran yang duhuraikan atau ditafsirkan melalui kejadian dan peristiwa dalam kehidupan Rasulullah S.A.W.
  4. Membolehkan para pendidik/ pendakwah mencontohi sistem pengajaran yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
  5. Membantu umat Islam mengetahui kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar, sama ada pengetahuan yang berkaitan dengan aqidah, hukum hakam dalam Islam atau tatasusilanya. Kehidupan Rasulullah S.A.W adalah satu gambaran yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.

Semoga sirah yang dipelajari dapat difahami dan dihayati dengan sebetulnya agar apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian selari dengan kehendak Islam. Diharapkan 1 Muharram yang kita lalui pada hari ini menjadi titik tolak untuk kita sambung apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Menyambung perjuangan menegakkan syiar Islam.

Sempena dengan kedatangan tahun baru hijrah, Salam Ma'al Hijrah diucapkan kepada seluruh umat Islam. Semoga dengan kedatangan baru ini kita tanamkan azam untuk membuat satu anjakan paradigma dalam diri kita. 'Hijrah' daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kita buat penambahbaikan lagi agar kita menjadi Muslim yang cemerlang di dunia dan juga akhirat.



- SALAM MA'AL HIJRAH 1432 -

Monday, 15 November 2010

Salam Aidiladha



Allahuakbar, Allahuakbar, walillahilhamd.

Salam Aidiladha buat seluruh muslimin dan muslimat, semoga sentiasa berada dalam Redha Allah SWT.

Juga diucapkan..

Selamat menunaikan haji kepada sahabat-sahabat yang diberi kesempatan oleh Allah menjadi tetamuNya tahun ini. Semoga memperolehi haji yang mabrur, selamat pergi dan selamat pulang kembali. Diri ini tidak berkesempatan untuk bersama-sama menunaikan haji tahun ini dan mohon sahabat-sahabat mendoakan agar kami di sini diberi peluang oleh Allah Taala menjejakkan kaki ke tanah haramain tahun depan.


الله أكبر ..الله أكبر ..الله
أكبر ..لا إله إلا الله ..الله أكبر ..الله أكبر ولله الحمد ..لبيك اللهم
لبيك ..لبيك لاشريك لك لبيك ..إن الحمد والنعمة لك والملك لاشريك لك
..سبحان الله العظيم .. سبحان الله وبحمده ..سبحان الله والحمد لله وأستغفر
الله ولا إله إلا الله والله أكبر ولله الحمد ولا حول ولا قوة إلا بالله
العلي العظيم ..سبحانك ربي لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك..كل عام
وأنتم بخير

Thursday, 14 October 2010

Sentiasalah Berlapang Dada

Sudah lama aku tidak letak entry baru dalam blog ini. Semakin lama abaikan blog, semakin malas hendak mulakannya lagi. Untuk entry kali ini, aku ada terbaca satu cerita dan menarik minatku untuk dikongsikan di sini..


"Aduhai, kenapalah hidupku sering dirundung kesah" keluh seorang pemuda yang sentiasa merasakan dirinya malang, sering merasa resah gelisah dan tidak tenteram. Hatinya tidak pernah sepi daripada kerisauan.

"Tuhan tidak pernah meminjamkan kedamaian pada diri aku" Getus hati kecil pemuda itu. Dia cemburu melihat sekelilingnya. Semua orang seakan tiada masalah. Mereka bebas bergelak tawa dan bersenda gurau. Sedangkan kegelisahan tidak pernah padam daripada dirinya.

Hatinya tidak mampu lagi menanggung beban masalah yang semakin menghimpit jiwanya. Semakin hari dirasakan semakin sempit jiwanya. Setelah penat berfikir, dengan lemah longlai dia melangkah ke hujung kampung untuk menemui seorang lelaki tua. Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Ingin sekali dia meminta nasihat daripadanya lantas dia pergi menemui lelaki tua tersebut.

Lelaki tua itu mendengar segala masalahnya sambil tersenyum. Dia mengajak pemuda itu ke sebuah kolam berhampiran sambil membawa dua bungkus garam dan cawan. Pemuda itu mengikut walaupun sedikit kehairanan.

"Anak muda.." Lelaki tua itu bersuara.

"Ambil secawan air daripada kolam itu dan masukkan sebungkus garam". Ujarnya lagi. Dalam kebingungan pemuda itu menurut apa yang diperintahkan.

Cawan diisi dengan air dan sebungkus garam. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi. "Sekarang minum air itu". Dalam kebingungan yang masih tersisa pemuda itu menurut.

"Apa rasanya..?" Tanya lelaki tua.

"Masin !!" Jawab pemuda itu dengan muka berkerut.

Lelaki tua tersenyum lagi.

"Sekarang masukkan sebungkus garam dalam kolam ini dan minum airnya."

Tanpa banyak menyoal pemuda melakukan apa yang disuruhi, kemudian mencedok air kolam dengan kedua belah tangannya dan menghirup air tersebut.

"Sekarang apa pula rasanya wahai anak muda".

"Tawar, tidak masin seperti tadi". Jawab pemuda.

"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah pemuda tersebut. Pemuda itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu pemuda tersebut.

gambar hiasan: kekecewan Sneijder setelah Belanda tewas kepada Spain pada World Cuo 2010.


"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."

"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."

"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."

Petang itu, pemuda tersebut pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa berlapang dada dan menerima ujian atau cabaran dengan hati yang terbuka.

Friday, 24 September 2010

Mahasiswa Islam, Pemuda Islam

“Mung ngaji mane wang….”

“Amek kos mende dinung…”

“Brape tahun duk dinung…”

Inilah soalan-soalan yang biasa diajukan oleh orang kampung kepada kita selaku mahasiswa di institusi pengajian tinggi sama ada dalam ataupun luar negara. Masing-masing dengan jawapan masing tetapi tidak akan terlepas dengan tanggungjawab kepada masyarakat. Tanggungjawab membetulkan masyarakat. Tanggungjawab memacu masyarakat ke landasan yang benar. Tanggungjawab membawa masyarakat keluar daripada kegelapan.

Persoalannya. Adakah kita sudah bersedia memikul tanggungjawab tersebut??



TUGAS MAHASISWA ISLAM, PEMUDA ISLAM.

Iklim sosial di negara kita Malaysia sekarang ini semakin merosot. Banyak kes-kes sosial yang mampu meruntuhkan generasi kita suatu hari nanti. Gejala penyalahgunaan dadah, bunuh, zina, rogol, buang anak, rompak, samun, rasuah dan sebagainya. Gejala-gejala ini semakin menular dan semakin membusuk dalam masyarakat kita. Setiap hari kes-kes seperti ini terpampang di muka-muka akhbar tempatan. Masyarakat bagaikan sudah lali mendengar masalah-masalah sebegini sehinggakan segelintir daripada mereka memandang isu ini dengan sebelah mata sahaja. Sedikit pun tidak dihiraukan.

Barah yang semakin menular dikalangan masyarakat memerlukan kepada penawar yang mampu menyembuhkannya. Jika tidak diubati, pasti mati.

Dan penawar yang dicari adalah kita, mahasiswa- mahasiwi yang memahami agama. Tidak hanya kepada mahasiswa yang mengambil jurusan agama, tetapi semua mahasiswa yang mengaku diri mereka Islam. Semuanya memainkan peranan masing-masing bagi menggalas tanggungjawab ini. Tugas ini bukanlah satu tugas yang mudah bahkan amat mencabar dan menguji mental dan fizikal kita. Akan tetapi, jika kita semua bersatu padu, insyaAllah semuanya akan berjalan dengan lancar dan akan menjadi mudah. Apa yang penting ialah permuafakatan.

Justeru, kita semua haruslah bersiap sedia untuk berdepan dengan pelbagai isu masyarakat di Malaysia. Kita semua adalah agen perubah kepada masyarakat kita.

Sebab apa!!

Sebab kita ialah PEMUDA…!!

Tempoh muda ialah tempoh yang disuruh ‘rebut’ oleh Rasul.

Tempoh muda ialah tempoh penentuan hala hidup .

Tempoh muda ialah tempoh kemuncak kekuatan fizikal.

Tempoh kepemudaan ialah tempoh yang penuh keupayaan.

Tempoh muda ialah tempoh yang ‘amat pendek’.


“Generasi muda ialah rahsia kehidupan ummat dan sumber matair kebangkitannya. Sejarah ummat ialah sejarah para tokoh yang dilahirkannya, yang memiliki aqliyah yang kuat dan ruh yang membara. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh – tokoh yang memenuhi syarat rijal yang sebenarnya…” (Hassab al-Banna)


"JIKA MAHU MELIHAT SESEBUAH NEGARA SEPULUH TAHUN AKAN DATANG, LIHATLAH GENERASI MUDANYA PADA ZAMAN SEKARANG"

Saturday, 4 September 2010

Masih Ada Masa


Tik tok, tik tok, tik tok...
Cepat masa berlalu, pantas ia meninggalkan kita...

Sedar tidak sedar... Ramadhan semakin hampir masanya meninggalkan kita semua. Tinggal beberapa hari sahaja lagi Aidilfitri bakal disambut. Segala persiapan sedang giat dijalankan bagi menyambut kedatangan hari lebaran. Segala kelengkapan dicari. Peniaga-peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus bertandang ke kedai masing-masing.

Namun..

Suasana seperti itu tidak kurasai di Jordan. Dapat dibayangkan akan kesibukan dan keriuhan di kampung. Riuh dengan gelak tawa. Semuanya dengan wajah ceria.


MASIH ADA MASA.

Bersempena Ramadhan yang masih berbaki ini, marilah sama-sama kita muhasabah diri. Adakah Ramadhan kali ini telah kita lalui dengan bersungguh-sungguh.
Bagaimana kualiti ibadah kita..?
Adakah sama dengan bulan-bulan yang lain..?
Sama-samalah kita hitung diri masing-masing....

Masih sempat lagi jika mahu memperbaiki ibadah kita. Ramadhan masih berbaki. Teruskan mencari redha Ilahi. Jangan sampai menyesal di kemudian hari.

Teringat saya akan satu hadis sering dibaca oleh penceramah-penceramah...:

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW pernah naik ke mimbar seraya berkata :

"Amin...Amin..Amin..." (sebanyak 3 kali)

Lalu para sahabat bertaya kepada Baginda , "Ya Rasulullah, engkau naik mimbar sambil berkata amin, amin, amin..??

Sabda Baginda: " Sesungguhnya Jibrail telah datang kepadaku, dan dia berkata : Barangsiapa yang datang kepadanya Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya maka akan dimasukkan ke dalam neraka dan Allah akan menjauhinya, katakanlah amin, maka aku pun mengucapkan amin.." (Hadis sohih - Sohih Muslim 4/1978)

Jika kita hayati dan fahami betul-betul hadis ini pasti akan mendatangkan kegerunan dalam hati. Alangkah ruginya jika tidak diampunkan dosa sebelum berlalunya Ramadhan. Kejarilah pengampunan daripada Yang Maha Pengampun. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dosa hamba-hambaNya.

Rasulullah SAW menggalakkan dua doa yang harus dipohon ketika Ramadhan. Pertama, doa memohon keampunan daripada Allah SWT. Doa yang selalu kita baca ketika Ramadhan iaitu "Allahumainnaka 'afuwun karimun thibbul 'afwa fa'fuaana". Dan doa kedua yang digalakkan oleh Baginda SAW ialah doa memohon agar dikurniakan kesihatan yang baik supaya memudahkan kita menjalankan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT.

Justeru, belum masih terlambat bagi kita mendapatkan keampunan daripada Allah Taala disamping mengejar ganjaran-ganjaran yang telah Allah janjikan. Ganjaran yang tidak ternilai harganya. Rebutlah peluang sementara Ramadhan masih ada. Teruskan ibadah sementara jasad masih bernyawa.


Ampun Maaf Jika Ada Salah dan Silap
~SELAMAT MENYEMPURNAKAN BAKI RAMADHAN~
SELAMAT MENYMABUT AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN
( 0-0 la yer.. )






Thursday, 2 September 2010

Coretan Kosong

Hari ini sudah masuk hari ke-23 umat Islam berpuasa. Tinggal beberapa hari lagi Aidilfitri bakal disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Semua akan menyambut hari raya tetapi cara sambutannya yang berbeza.

Ramadhan telah memasuki fasa ke-3. Fasa terakhir sebelum umat Islam menyambut kemenangan berpuasa sebulan. Kemenangan kerana berjaya mentarbiyyah diri selama sebulan. Namun, sebelum kita menyambut perayaan yang bakal tiba, haruslah kita menyempurnakan Ramadhan yang masih berbaki ini dengan sebaik-baiknya. Hiasi malam dengan qiamullail, zikir dan sebagainya agar lailatulqadar yang kita cari dapat kita temui.

Kehidupanku di Mu'tah semakin hari semakin sunyi. Seorang demi seorang maliziyin pulang ke tanah air. Tidak kurang juga yang bermusafir ke luar Jordan, Mesir, Syria, Turki dan Mekah. Keinginanku untuk pulang bercuti ke tanah air pada tahun ini terpaksa ditunda ke tahun hadapan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Hajat tidak kesampaian hanya salam yang ku kirimkan. Ada hikmah disebalik kejadian.

Sekarang dalam perancangan ke Syria. Ingin merasai kelainan suasana Ramadhan. Katanya suasana berpuasa di sana lebih meriah berbanding dengan suasana di Jordan. Bolehlah aku menyempurnakan baki Ramadhan sekaligus menyambut Aidilfitri di sana. Tahun lepas sudah berkesempatan beraya di Jordan dan tahun ini, insyaAllah di Syria pula. Semoga berjalan dengan lancar. Manusia hanya mampu merancang Allah yang menentukan. InsyaAllah selamat semuanya.

Tidak ada apa-apa pengisian atau perkongsian pada entry kali ini. Sekadar coretan kosong bagi mengisi waktu terluang sebelum masuk waktu Asar. (nk masak apa yer tuk berbuka hari ni...emm..buntu2..)

Qutayif (kuih kt jordan yg wujud time Ramadhan je)



~SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA~



Saturday, 28 August 2010

Diari Ramadhan: 2 Hari di Sahab

Hari ini sudah masuk hari ke-18 Ramadhan. Alhamdulillah kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengimarahkan bulan yang penuh mulia ini. Semoga Ramadhan kali ini memberikan satu impak yang lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya.
Dua hari lepas aku berpeluang menziarahi Dr.Mustaffa Abu Zaid di kediaman beliau di Sahhab, Amman di samping menemani kawanku yang akan menjadi imam terawih di sana. Kami dikhabarkan, Wilayah Sahhab memang terkenal dengan tempat yang paling banyak masjid berbanding tempat lain di Jordan. Dianggarkan sebanyak 150 buah masjid terbina di sana.
Hajat untuk berada di sana semalaman dilanjutkan disebabkan permintaan Dr.Mustaffa supaya kami tinggal di sana sehari lagi. Aku akur lantaran ajakan Dr.Mustaffa yang bersungguh-sungguh. Memang tidak dapat mengelak kecuali dengan menerima sahaja pelawaan itu dengan hati yang tebuka.
Pengalaman bertandang ke sana memberikan satu kenangan yang cukup berharga. Kami dilayan dengan layanan first class ditambah pula dengan keramahan anak-anak serta pembantu beliau.
Kesempatan berada di rumah Dr.Mustaffa digunakan dengan sepenuhnya. Kami berbual panjang bersama dengan beliau serta anaknya. Pelbagai topik, cerita, pengalaman kami kongsikan bersama. Bermula dengan pengenalan latar belakang beliau sehinggalah kepada kupasan hukum-hukum agama, pengalaman, serta pengetahuan umum berkaitan dengan dunia Islam. Dr.Mustaffa memang dikenali sebagai seorang yang mempunyai thaqafah atau pengetahuan umum yang cukup tinggi.
Apa yang menarik minatku ialah cerita pengalaman Dr.Mustaffa menyertai delegasi asing ke Muktamar PAS yang berlangsung di PUTIK, Kelantan pada bulan Mei yang lepas. Semua memuji Malaysia sebuah negara yang bagus, hebat serta cantik.
Keberadaan kami di sana juga mendapat layanan yang baik daripada penduduk Sahhab. Kami disapa dengan lembut dan bersopan berbeza sekali dengan reaksi penduduk di Mu’tah terhadap orang Malaysia. Mungkin kerana di Mu’tah sudah dibanjiri dengan pelajar asing khususnya pelajar Malaysia dan ini sudah menjadi kebiasaan buat masyarakat di sini.
salah sebuah masjid di Amman

Kami juga dibawa bersiar-siar sekitar Amman oleh saudara kepada Dr.Mustaffa, Abu Anuar. Kami mula mengenali Abu Anuar selepas selesai solat terawih tempat aku dan Syuk menjadi imam. Imam semalaman atas permintaan Dr.Mustaffa. Abu Anuar merupakan bekas pegawai polis dan sekarang memiliki kilang sanyurah dan sosej. (Sanyurah cap "hanaa" tu dia lah yang punya).
Kami dibawa melawat Taman Malik Hussein. Di sana terdapat muzium kereta diraja tetapi kami tidak berpeluang untuk melihatnya kerana muzium itu sudah ditutup. Masjid Malik Hussein yang merupakan salah satu masjid utama di Jordan juga terletak di dalam taman ini. Masjid ini juga menjadi kemegahan rakyat Jordan. Tidak ku sangka ada juga taman seperti ini di Jordan.
Kami diceritakan satu persatu tentang tempat-tempat menarik di sekitar Amman. Apa yang menarik, anak Abu Anuar, Mahmud dan Ahmad juga petah bercerita walaupun umur mereka dalam lingkungan 10 tahun dan 13 tahun. Pengetahuan mereka berkenaan Jordan sangat luas sehinggakan susur galur kerabat diraja pun mereka ketahui. Kagum.
Dua hari di sana terasa begitu pantas berlalu. Pengalamannya cukup bermakna. IsyaAllah jika berkesempatan akan ku jejakkan kaki lagi ke sana. Jutaan terima kasih kepada Dr.Mustaffa dan Abu Anuar serta keluarga mereka atas layanan yang diberikan.

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~

Thursday, 19 August 2010

Salam Imtihan Nihaie

Fatrah imtihan sudah pun membuka tirainya. Segala persiapan sudah dibuat untuk menghadapi peperiksaan akhir bagi sesi semester pendek ini. Walaupun pembelajaran pada semester ini pendek, insyaAllah kita semua dapat menguasai semua yang diajar oleh pensyarah. Study, study dan study. Semoga beroleh kejayaan cemerlang.

Dalam kesibukan kita mengulangkaji pelajaran, tidak seharusnya kita semakin jauh daripada Allah Taala sedangkan sekarang kita berada di bulan Ramadhan. Bulan rahmat, bulan berkat, bulan kesabaran, bulan yang telah dijanjikan oleh Allah keampunan ke atas hamba-hambaNya. Pintu syurga terbuka seluas-luasnya dan pintu-pintu neraka ditutup rapat. Keistimewaan yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun. Adakah kita mahu mengabaikan kelebihan serta keistimewaan bulan rahmat ini. Tentu sekali tidak bukan...

Oleh itu, sama-samalah kita mengimarahkan bulan Ramadhan. Perbanyakkan amal ibadat kita agar beroleh keredhaan Ilahi. Study-study jugak, ibadat jangan lupa. Semoga study kita bernilai ibadah (pinjam trademark org ni...hehe).

Untuk akhirnya, selamat menduduki peperiksaan nihaie buat sahabat-sahabiah sekalian. Semoga kejayaan cemerlang mengiringi kalian semua. Berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Dewan peperiksaan di Afghanistan


~Salam Imtihan Nihaie, Ma'a Taufik Wannajah~

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~


Monday, 16 August 2010

Kenangan Ramadhan lalu

Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza.....

Ungkapan ini selalu diulang-ulang bila tiba bulan Ramadhan. Namun sejauh manakah penghayatan kita ke atas ungkapan yang selalu disebut-sebut. Setakat ini, adakah Ramadhan yang sedang dilalui ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas ataupun sebaliknya ?? Tepuk dada tanyalah iman.

Ramadhan sudah masuk hari yang ke-6. Setiap orang pasti mempunyai kenangan Ramadhan yang tersendiri. Kenangan manis, kenangan pahit, semuanya terpahat dalam memori masing-masing. Bagi aku, Ramadhan kali ini berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Perbezaan yang cukup ketara sepanjang 22 tahun aku hidup di dunia ini. Apa tidaknya, kali ini aku menyambut bulan puasa di perantauan. Berjauhan dengan keluarga, jauh daripada saudara mara.

Keadaan ini membuatkan aku mengimbau kembali suasana Ramadhan di tanah air, terutamanya di Kelantan Darul Naim. Aku sempat menyambut Ramadhan di negeri serambi Mekah itu selama 3 tahun. Suasananya sangat meriah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Di sana Ramadhan diimarahkan dengan semaksimanya. Masjid-masjid penuh dengan orang ramai. Malam Ramadhan dihidupkan dengan program-program qiamullail dan ceramah yang dianjurkan oleh masjid-masjid di setiap daerah. Bazar Ramadhan di buka di setiap tempat menunjukkan keberkatan rezeki di bulan Ramadhan. Namun, berbelanjalah seadanya dan jangan membazir.

Perkampungan Ramadhan diwujudkan menambahkan lagi kemeriahannya. Kedudukannya yang strategik menarik tumpuan orang ramai untuk mengerjakan solat tarawikh dan qiamullai di situ. Satu usaha yang cukup baik daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Tuan Guru. Bertepatan dengan jolokan Negeri Kelantan sebagai negeri serambi Mekah. Semoga kerajaan di bawah pimpinan Tok Guru sentiasa mendapat keredhaan dan mendapat lindungan daripada Allah SWT.

Qaryah Ramadhan tahun lepas


Kenangan bertarawikh di masjid-masjid sekitar Bandar Kota Bharu memang tidak dilupakan. Gemersik bacaan imam ketika tarawikh seakan-akan berada di Masjidil Haram, Mekah. Makmumnya melimpah hingga ke kawasan luar masjid. Diselangselikan dengan tazkirah ringkas tetapi mempunyai makna yang cukup mendalam. Suasana Ramadhan, suasana ilmu, suasana ibadah yang mampu memberikan ketenangan.

Terdetik juga di hati untuk menyambut Ramadhan di tanah haram. Mekah dan Madinah. Rasa cemburu melihat rakan-rakan yang akan berangkat ke sana. Mereka diberi peluang menyambut Ramadhan di sana. Pengalaman aku mengerjakan umrah pada bulan Mei yang lepas membuatkan rasa ingin kembali ke Mekah dan Madinah semakin menebal. InsyaAllah, mudah-mudahan aku juga diberi peluang untuk menyambut Ramadhan di sana dan dapat menjejakkan kaki sekali lagi di Tanah Haram. InsyaAllah.

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~


Wednesday, 11 August 2010

Fuhh...~

Hari ini merupakan hari pertama Ramadhan. Lagi 5 jam azan maghrib akan berkumandang menandakan masuknya waktu solat fardhu maghrib dan waktu berbuka puasa bagi negara Jordan dan kawasan-kawasan yang seumpama dengannya.

Pekan Mu'tah sesak dengan pelbagai ragam manusia. Tua, muda,kanak-kanak, dewasa, lelaki, wanita. Semuanya dengan ragam dan perangai masing-masing.

Gerai Qutayif sudah mula beroperasi. Qutayif merupakan kuih yang hanya dijual ketika bulan Ramadhan. Tidak pada bulan-bulan yang lain. Kelihatan orang-orang arab di sini berpusu-pusu membeli Qutayif. Maklumlah hari pertama Ramadhan. Hari ini juga merupakan hari terakhir sesi kuliah aku untuk penggal ini dan pada minggu hadapan terpaksa menempuhi fatrah peperiksaan akhir. Hanya menunggu peperiksaan akhir pada minggu hadapan.

Kadang-kadang rindu pada kampung halaman datang mengetuk lubuk perasaanku lantaran sudah masuk kali kedua aku menyambut Ramadhan di sini. Berjauhan dengan keluarga. Puasa di sini tidak semeriah puasa di tanah air. Namun semangatku untuk menyambut bulan mulia ini tidak pernah luntur biarpun kemeriahannya tidak sama seperti di Malaysia. Tiada qaryah Ramadhan, tiada ceramah Ramadhan, tiada bazar Ramadhan, tiada alunan selawat antara dua solat tarawikh tetapi tidak semestinya masyarakat di sini tidak mengimarahkan bulan rahmat ini.

Banyak perkara yang sedang bermain dalam fikiran. Yuran pengajian untuk semester akan datang belum lagi dibayar. Pendaftaran subjek tertunda. Di tambah lagi dengan kekurangan wang untuk menyara hidup di sini. Duit sara hidup yang dijangka kuperolehi pada bulan Julai lepas masih belum kuterima lagi. Hajatku untuk menyempurnakan baki Ramadhan di Syria selepas tamat peperiksaan semester ini mungkin terpaksa dilupakan. InsyaAllah ada hikmah disebaliknya.

Kondisi sekarang memang tidak teratur tambahan musim panas di Jordan ini sedikit sebanyak mengganggu emosiku dan aku yakin bukan aku seorang sahaja yang mengalaminya. (sori kwn2 klau aku moody skit time soifi ni).

Ya Allah, tabahkanlah hatiku...Kuatkanlah semangatku...

Namun, kehidupan perlu diteruskan. Masih banyak lagi rintangan, cabaran dan dugaan yang bakal menguji kita. Kuatkan semangat. Panjatkan doa kepada Yang Maha Mengetahui. Moga, perjalanan hidup kita seiiring dengan landasan dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Hidup di dunia hanyalah sementara. Nun, akhirat sana yang kekal abadi.


SELAMAT MENYAMBUT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK




Thursday, 5 August 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Bulan Sya’ban bakal meninggalkan kita semua. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal memasuki gerbang Ramadhan, medan untuk menguji tahap keimanan dan kualiti ibadah yang kita lakukan dan bulan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya mengerjakan ibadah puasa sepertimana yang telah termaktub dalam Al-Quranul Karim :

“ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”. (al-Baqarah : 183)

Dalam bulan ini juga kita digalakkan untuk meningkatkan amal ibadat dan sentiasa memohon keampunaan serta keredhaan Allah S.W.T sepertimana hadis nabi yang mengatakan pada awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan pengakhirannya adalah dihindarkan daripada api neraka. Justeru kita perlu merebut peluang yang telah Allah sediakan kepada kita yang mana peluang yang tidak diperolehi dalam bulan-bulan yang lain.

Namun, persoalannya adakah kita telah bersedia mental dan fizikal untuk mengharungi bulan rahmat ini selama sebulan. Adakah apabila masuk bulan ramadhan barulah kita mahu memperbaiki segala amal ibadah kita. Sepatutnya pada bulan-bulan lain lagi kita telah memperbaiki segala kelemahan kita dalam beribadat dan pada bulan ramadhan kita hanya mempertingkatkan lagi amal ibadat yang telah kita kukuhkan sebelum datangnya bulan yang penuh dengan berkat ini.

Dalam bulan Sya’ban yang masih berbaki beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita membaiki segala amal ibadat kita dan membuat persediaan yang rapi agar kita dapat melalui bulan Ramadhan dengan selesa dan hati yang tenang. Bukan ganjaran yang kita mahukan, tetapi keredhaan Allah Taala yang kita dambakan. Dengan redha Allah S.W.T sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada sebarang azab seksaan di Hari Kiamat kelak.

Apa yang diharapkan, Ramadhan pada tahun ini dapat kita lalui dengan lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.

Kala berakhir senja Sya’ban
datanglah sabit bulan Ramadhan
Jika diri ada kesalahan
sudilah hati buka kemaafan

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.

Tuesday, 27 July 2010

Nasionalisme

Hari ini aku menggeledah hard disc komputer yang hampir penuh. Apa yang kurang penting aku delete. Semua folder dibuka, dan aku menjumpai satu video kuliyah agama yang menarik perhatianku. Kuliyah Jumaat yang disampaikan oleh YAB TG Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. Aku fikir kuliyah yang bertajuk Nasionalisme ini sangat penting untuk dikongsi lantaran zaman sekarang, manusia terlalu mengagungkan bangsa masing-masing sehinggakan agama diketepikan.

Sekadar berkongsi dengan sahabat-sahabat input yang diperolehi daripada video tersebut....


Nasionalisme merupakan satu fahaman barat yang disuntik ke dalam jiwa orang Islam oleh penjajah untuk memesongkan serta memusnahkan umat Islam. Apabila umat Islam telah terpengaruh dengan fahaman ini, semangat kebangsaan akan menguasai jiwa-jiwa mereka. Umat Islam akan sayangkan bangsa masing-masing melebihi agama mereka.


Musuh Islam telah berjaya memecahbelahkan Islam melalui sistem politik dengan menerapkan nilai-nilai nasionalisme ke dalam pentadbiran Islam. Mereka dipisahkan antara satu sama lain dengan bangsa masing-masing dan sempadan negeri masing-masing sehinggakan orang Islam bukan berbangsa Turki menolong musuh menjatuhkan sistem khilafah Islamiyyah di Turki manakala orang Islam berbangsa Turki memandang rendah kepada orang Islam yang berbangsa lain. Hal ini telah memberikan kejayaan yang besar kepada musuh-musuh Islam.


Sebelum jatuhnya sistem khilafah, Turki menjadi benteng pertahanan kepada negara-negara lain daripada serangan kuasa barat lantaran jalan penghubung laut dan darat semuanya dikuasai oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah.


Musuh Islam pada awalnya berusaha meruntuhkan Islam melalui pecahan mazhab seperti Syiah Imamiyyah di Iran, Syiah Zaidiyyah di Yaman dan sebagainya. Mereka mendapat sokongan daripada barat untuk menentang kerajaan Uthmaniyyah tetapi tidak mendatangkan hasil. Hal ini kerana semangat Islam dalam jiwa mereka masih kukuh pada waktu itu. Di Iraq, pengikut-pengikut sunni berkahwin dengan pengikut-pengikut syiah manakala di Yaman, ulama’-ulama’ Zaidiyyah menulis kitab dan menjadi rujukan ulama’ sunni.


Akhirnya, musuh-musuh Islam meniupkan api perkauman dan semangat kebangsaan di kalangan umat Islam. Orang Islam Turki merendahkan orang Islam Arab dan orang Islam Arab menganggap orang Turki sebagai penjajah. Keadaan ini berlarutan sehingga semangat kebangsaan semakin menebal dalam jiwa masing-masing.


Dalam kekalutan umat Islam waktu itu, terdapat satu gerakan Islam yang cuba mengubati penyakit umat Islam akibat diserang virus nasionalisme. Sheikh Jamaluddin al-Afghani merupakan salah seorang individu yang aktif menentang fahaman penjajah ini. Beliau sangat cekap berpidato, fasih berbahasa arab. Beliau banyak merantau bagi mengembangkan syiar Islam dan pernah dibuang negeri ke Perancis akibat tindakan beliau yang kuat menentang penjajah.


Sewaktu berada di Mesir, Sheikh Jamaluddin al-Afghani berjaya melahirkan ramai pelapis dakwah antaranya ialah Sheikh Muhamad Abduh, Sheikh Rashid Ridha dan ramai lagi. Di sana, beliau menubuhkan satu jemaah bernama al-Urwatul Wusqa bertujuan menyebarkan dakwah islamiyyah kepada masyarakat. Jemaah ini juga mengeluarkan akhbar-akhbar Islam dan diedarkan kepada orang ramai. Akhirnya kumpulan ini diharamkan oleh penjajah.


Sheikh Jamaluddin al-Afhgani berhijrah ke Turki dan berjaya membina hubungan baik dengan Sultan Abdul Hamid iaitu sultan terakhir kerajaan Turki Uthmaniyyah. Beliau telah menubuhkn satu program iaitu al-Jamiatulislamiyyah untuk menyebarkan ilmu dan merancang untuk membina landasan keretapi daripada Turki ke Tanah Haram,Mekah bagi memudahkan umat Islam di Turki menunaikan ibadah haji. Rancangan beliau berjaya dengan sumbangan dan derma orang ramai.


Kejayaan Sheikh Jamaluddin mendatangkan rasa tidak senang di kalangan penjajah. Mereka menghantar seorang perisik, Lorens yang boleh bertutur dalam bahasa arab. Perisik itu berjaya menjalinkan hubungan baik dengan raja-raja arab dan menghasut mereka supaya memerangi bangsa Turki. Senjata-senjata api diseludup kepada pemberontak untuk menghuru-harakan masyarakat. Kesannya landasan keretapi yang dibina oleh Sheikh Jamaluddin al-Afghani berjaya diletupkan.


Tidak lama selepas itu satu peperangan dahsyat, Perang Dunia Pertama tercetus. Turki terpaksa bergabung dengan Jerman dan beberapa lagi negara eropah untuk berdepan dengan kuasa-kuasa besar barat. Namun Jerman bertindak melawan Turki secara senyap untuk menjatuhkan sistem khilafah dengan menonjolkan seorang pemimpin berfahaman nasionalisme iaitu Mustafa Kamal Atartuk. Dalam Perang Dunia Pertama, Turki berjaya menewaskan Rusia tetapi tidak berjaya memenangi hati-hati orang arab. Pemberontakan oleh bangsa Arab berterusan.


Kemunculan Mustafa Kamal Atartuk mendatangkan impak negetif yang besar kepada sistem Khilafah Islamiyyah. Kerajaan Turki Uthmaniyyah berjaya digulingkan dengan cara penyebaran fahaman nasionalisme ke seluruh rakyat Turki. Rentetan peristiwa ini, penjajah berjaya menguasai Tanah Arab dan seterusnya memecahkannya kepada bahagian-bahagian yang kecil. Akhirnya terbentuklah negeri-negeri kecil Tanah Arab yang ada sekarang seperti Saudi Arabia, Qatar, Bahrain, Kuwait, Dubai dan sebagainya.

Orang Islam waktu itu sangat gembira kerana bangsa mereka sendiri yang menjadi raja di negara masing-masing. Akan tetapi, penjajah Inggeris yang mengawal semua pergerakan pentadbiran. Mereka hanya diberi jawatan bukannya kemerdekaan. Walaupun negara umat Islam semakin lumpuh, anak-anak murid Sheikh Jamaluddin al-Afghani tetap bergerak menyebarkan dakwah Islam agar sistem Khilafah Islamiyyah dapat dikembalikan.


Melalui saluran pendidikan, penjajah menghidupkan kembali sejarah barat dan sejarah orang kafir sekaligus menenggelamkn sejarah Islam n kegemilangannya. Sejarah-sejarah purba digembur kembali seperti sejarah Firaun di Mesir, sejarah Majusi di Iran, sejarah Hindu dan Budha di India dan Tanah Melayu. Semuanya adalah sejarah-sejarah orang yang mengingkari Allah S.W.T dan mendustakan utusanNya. Projek-projek arkeologi dan cari gali dibiyai dan diperhebatkan untuk menghidupkn kembali sejarah purba agar boleh dipuja n dibanggakan ke seluruh antero dunia. Hal ini hanyalah untuk menutup sejarah kegemilangan Islam suatu ketika dahulu.


Persoalannya kenapa projek-projek seperti itu banyak dijalankan di negara umat Islam. Mungkin ada yang menyangka kerana di negara-negara Islam kaya dengan sejarah tamadun terdahulu, namun sebaliknya bertujuan memesongkn umat Islam daripada tamadun kegemilangan islam.


Orang Islam didoktrinkan bahawa dengan mendalami agama tidak akan membawa kemajuan. Kejayaan dan kemajuan hanyalah boleh dicapai dengan mengikut cara barat. Silibus-silibus pembelajaran di sekolah-sekolah disusun mengikut sistem yang telah disediakan oleh barat. Sejarah Islam yang diajar di sekolah tidak mendalam, tetapi lebih menceritakan tentang pejuang-pejuang serta orang yang membawa kemajuan di barat. Sejarah-sejarah pejuang Islam jauh sekali. Sukatan pengajian agama hanyalah berkisar tentang ibadat dan tidak lebih daripada itu. Silibus yang berkaitan semangat pejuangan Islam disekat dan tidak dimasukkan dalam sukatan pembelajaran di sekolah-sekolah.


Begitulah bahayanya fahaman nasionalisme sehinggakan umat Islam lebih sayangkan bangsa daripada agama sendiri sedangkan Islamlah yang menjadi penyelamat dan bukannya bangsa. Mereka sanggup menggadaikan agama demi memperjuangkan bangsa. Kalau sayangkan bangsa, paculah bangsa selari dengan landasan Islam barulah selamat dunia dan juga akhirat.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...